Belum pun bermula secara rasmi, namun kemeriahan bola sepak domestik telah pun dirasai dengan peminat tanah air tentunya tidak sabar menunggu tiupan wisel sepak mula perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Takzim bertemu Selangor.

Setiap pasukan tahun ini dilihat begitu serius mempersiapkan jentera terbaik bagi menghadapi saingan liga. Selain nama-nama besar seperti Selangor dan Kelantan, pasukan pasukan yang telah lama tidur turut kembali bangkit seperti pasukan Melaka United, Perlis dan juga Kuala Lumpur. Tidak lupa juga T-Team yang kembali bernafas selepas berjaya merebut tempat ke Liga Super. Ini pastinya dapat menarik lebih ramai peminat untuk terus membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing masing.

Apa yang menariknya, peralihan kepada penswastaan liga dilihat berjaya menarik minat pemerhati diluar untuk lebih mendalami sukan bola sepak. Jika dulu perhatian hanya tertumpu kepada aksi didalam padang, namun kini peminat sudah mula mengambil tahu hal hal pengurusan seperti membabitkan penajaan dan perbelanjaan pasukan, Ramai juga peminat diluar sana sudah mula faham setiap undang undang dan juga akta yang berkaitan dengan isu bola sepak.

Ini menunjukkan meningkatnya tahap intelektual peminat terhadap sukan bola sepak, yang pada penulis merupakan amaran secara tidak langsung kepada pengurusan pasukan bolasepak itu sendiri. Pengurusan sesebuah pasukan harus sama meningkat dan membuktikan bahawa mereka mampu menghasilkan sesuatu kepada pasukan , dan bukan hanya merebut jawatan.

Bagi pemain pula, prestasi harus sentiasa konsisten dan meningkat kerana terdapat lambakan pemain pemain tempatan yang sama tahap permainannya, selain perlu bersaing dengan awang awang import. Meningkatnya kualiti pengurusan dan permainan nanti, akhirnya akan membawa banyak kebaikan khususnya kepada skuad Harimau Malaya.