Dalam kalangan penggiat sukan berbasikal negara, pelumba lebuhraya Johor, Muhammad Nurfitri Ammar Rusli tidak bersalah ketika 'menjatuhkan' pelumba Terengganu ketika menuju garisan penamat Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Perdebatan hangat di media sosial mendakwa Ammar sengaja menjatuhkan Muhammad Shahmir Aiman dengan menghimpit ke pembahagi jalan hingga dia jatuh berguling.

Saya melihat rakaman video dan membandingkan dengan beberapa gambar yang tular.

Bukti paling nyata, 'derailleur hanger gear' Ammar patah - bukannya rantai putus ketika kedua-dua pelumba bersiap-sedia melakukan henjutan terakhir.

Dalam situasi itu, Ammar tidak dapat melakukan apa-apa selain bergantung kepada momentum untuk terus bergerak.

Tetapi dalam keadaan pantas, dia cuba melihat Shahmir dan saya percaya tidak berniat menghalang tetapi untuk buat keputusan, arah mana patut dituju.

Ketika itu, tayar depan Shahmir terkena tayar belakang Ammar. Dia hilang kawalan dan apabila rim Shahmir tersangkut, dia jatuh terguling.

Apa yang saya bimbang, Shahmir jatuh di tengah jalan , 100m menuju garisan penamat - ketika peloton bersaing hebat melakukan henjutan terakhir.

Mujur, dia bijak bergerak ke tepi jalan sebelum ditarik oleh pegawai Terengganu.
Keadaan jadi rumit buat Ammar apabila rakan sepasukan dari Johor menang emas sekali gus dilihat sengaja menjatuhkan Shahmir.

Malah, dia hanya didenda RM100 oleh komisar perlumbaan atas dakwaan melakukan pecutan bahaya menuju garisan penamat.

"Saya tidak berniat. Saya hanya mahu mengelak dia datang tapi bila saya ke kanan, dia ke kanan. Saya tidak tahu dia mahu ke arah mana.

"Saya sudah tidak boleh berkayuh lagi. Saya hanya mahu mengelak tapi kami terlalu rapat dan bergesel.


"Saya mengenali Shahmir dan mohon maaf atas apa yang berlaku. Realitinya, kami pernah sama-sama mewakili negara di Eropah," kata Ammar.

Jurulatih lebuhraya Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan: "Ini kesilapan teknikal dalam basikal lebuhraya.

"Faktor utama, Ammar masuk dalam garisan pecutan Shahmir. Tapi saya percaya dia tidak berniat melakukannya. Ini pengalaman penting kerana mereka baru berusia 18 tahun. Perjalanan mereka masih jauh lagi," katanya.

Saya mendoakan kedua-dua pelumba belajar daripada insiden ini. Sama ada Ammar untuk kekal dalam garisan pecutan sendiri sekurang-kurangnya 200m menuju garisan penamat atau Shahmir yang perlu bijak mencari ruang.

Cabaran lebih sukar jika berlaku penamat beramai-ramai. Jadi mereka perlu bijak. Perjalanan anda jauh lagi, belajar dan terus belajar.

Semoga persaingan anda berdua dapat menggantikan aura seperti Anuar Manan vs Mohd Harrif Salleh.