Tumbangnya Jerman 0-2 di tangan Korea Selatan di Piala Dunia 2018 pasti akan diingati dalam tinta sejarah yang cukup lama kerana tiada siapa menduga keputusan itu mampu tercipta.

Apa yang dilakukan Korea walaupun gagal melangkah ke pusingan seterusnya, tetap jadi satu warna-warni cukup indah dalam dunia bola sepak dan paling penting, membela maruah bola sepak Asia di pentas Piala Dunia 2018.

Pada detik Jerman bangkit pamer langkah jagoan pada aksi kedua menentang Sweden dengan kemenangan pada lewat permainan, semua pemerhati dan peminat ramal Korea Selatan yang sudah layu dalam dua aksi awal kumpulan, akan diratah mudah oleh anak buah Joachim Loew.

Turun dengan sekelumit harapan masih mampu layak jika kejutkan Jerman dan Mexico tumbangkan Sweden dalam satu lagi perlawanan, pemain Korea buktikan darah pahlawan Taeguk mengalir dalam diri mereka.

Umpama berpantang maut sebelum ajal, barulah Korea buktikan kredibiliti sebenar kepada dunia selepas dalam dua perlawanan terdahulu, mereka gagal dapatkan rentak yang saksikan kecundang kepada lawan yang berada di taraf sama.

Gol Kim Young-gwon dan Son Heung Min dalam tempoh enam minit terakhir di masa kecederaan pahatkan nama Korea sekali lagi di kaca mata peringkat global bahawa bola sepak Asia masih ada sinar maruah untuk dipertahankan.

Sebelum ini, satu lagi jagoan Asia, Iran hampir sahaja buat dunia bola sepak terdiam apabila hampir singkirkan juara Eropah, Portugal namun keputusan seri 1-1 belum cukup bawa mereka layak ke pusingan seterusnya.

Memungut empat mata melalui kehadiran juara 2010, Sepanyol, Iran tetap cemerlang dalam edisi 2018 malah penulis cukup kagum semangat melawan pasukan ini yang beraksi seperti `tiada hari esok' dalam ketiga-tiga perlawanan dilalui.

Hanya Australia dan Arab Saudi, kedua-dua pasukan ini gagal beri sebarang impak atas nama Asia walaupun tidak tewas dalam semua perlawanan.

Walaupun Australia mampu beri tentangan sengit kepada Perancis pada aksi pembukaan dan hampir raih kemenangan ke atas Denmark, momentum itu gagal dilakar pada langkah penutup apabila tewas 0-2 kepada Peru.

Buat Arab Saudi, penulis memang sudah jangka langkah sumbang pasukan ini yang masih kurang pengalaman bertemu pasukan dari benua berlainan terutama Eropah dan Amerika Selatan.

Pemain Arab Saudi yang hanya berkisar beberapa kelab sahaja di negara itu seperti Al-Ahli, Al-Hilal, Al-Nassr dan Al-Shabab,perlu berkelana ke Eropah dalam mencari ilmu tambahan bola sepak agar jurang Asia dengan benua lain mampu dirapatkan.

Kita harapkan satu-satunya wakil Asia yang tinggal, Jepun mampu melangkah jauh dalam edisi Piala Dunia 2018...Banzai!