Namun itu yang terjadi pada siri di Malaysia yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil apabila gandingan ini cemerlang raih emas acara 10 meter platform seirama, menewaskan peserta daripada China, Wang Han-Wang Ying.

Gandingan "bidan terjun" ini hanya mula jalani latihan bersama dua hari sebelum acara itu selepas mendapat arahan jurulatih, Yang Zhuliang.

Ia berikutan kecederaan yang dialami Pandelela Rinong-Leong Mun Yee yang memaksa mereka tarik diri pada saat akhir.

Buat Dhabitah, ini merupakan satu kejutan kerana dia sudah lama tidak bertanding dalam acara platform.

Manakala Jun Hoong muncul penerjun terbaik negara dengan meraih dua pingat emas serta satu perak bagi siri kali ini.

Pingat perak itu turut diraih bersama Dhabitah dalam acara 3 meter papan anjal seirama.

Dengan kecederaan masih membelenggu penerjun senior negara, tumpuan sudah pasti buat gandingan ini untuk kekal momentum pada siri terakhir kejohanan di Gold Coast, Australia.

Perkara ini turut mendapat perhatian Zhuliang yang ingin memberi peluang buat Jun Hoong-Dhabitah bukti kemampuan mereka dalam acara berkenaan.

Malah tidak mustahil mereka akan dipertaruhkan pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di Rio de Janeiro, Februari depan bagi memburu antara slot ke Temasya Sukan Olimpik.