Ia seakan-akan semakin jelas kini buat pengurus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bahawa sebarang pernyataan sokongan daripada lembaga pengarah kelab, hanyalah bayangan awal terhadap pemecatan yang bakal menyusul.

Tiada keraguan mengenai itu dan tiada pengurus yang mampu berlapang dada apabila menghadapinya.

Claudio Ranieri diberi sokongan yang sama oleh keluarga Srivaddhanaprabha yang memiliki Leicester City hanya untuk dipecat pada Februari lalu.

Hanya tiga minggu lalu, Ronald Koeman mendapat “sokongan penuh” pemegang saham utama Everton, Farhad Moshiri.

Tapi adakah ia bermakna apa-apa apabila Everton mengumumkan pemecatan pengurus dari Belanda itu semalam?

Tentu sekali ia sekadar harapan palsu pada ketika kelab tidak mampu berdiam diri apabila penyokong semakin lantang menuntut agar pemecatan itu disegerakan.

Kemungkinan itu tidak dapat dielakkan gara-gara permulaan hambar Everton bagi musim ini menyaksikan kelab Merseyside itu tergelincir ke tangga ketiga terbawah dalam Liga Perdana.

Koeman, yang diikat dengan perjanjian bernilai £6 juta (RM33.6 juta) setahun pada Jun 2016, memimpin Everton untuk penyudahan di tangga ketujuh musim lalu.

Ia mencetus cita-cita dan dana besar hampir £140 juta (RM785 juta) dengan hasrat untuk memperkukuh pasukan pada musim panas lalu, sebaliknya ia menyaksikan prestasi mereka menjunam.

Kekalahan 5-2 kepada Arsenal di laman sendiri, Ahad lalu, adalah kekalahan ketujuh mereka dalam 11 perlawanan di samping mengisyaratkan berakhirnya kesabaran lembaga pengarah kelab terhadap bekas pengurus Southampton itu.

Koeman dimaklumkan mengenai pemecatannya – yang diputuskan Moshiri dan pengerusi, Bill Kenwright – pagi semalam.

“Everton ingin mengesahkan bahawa Ronald Koeman telah meninggalkan kelab ini. Bill Kenwright, ahli-ahli lembaga pengarah dan Farhad Moshiri ingin merakamkan terima kasih kepada Ronald di atas khidmatnya sepanjang 16 bulan lalu dan mengemudi kelab ini ke tangga ketujuh dalam kempen Liga Perdana musim lalu,” kata satu kenyataan kelab.

Betapa pendirian boleh berubah degan cepat dan mudah.

Disusuli kekalahan di tempat sendiri kepada Burnley tiga minggu lalu, Moshiri bertegas bahawa Koeman mendapat kepercayaan penuhnya.

Sejak itu, bagaimanapun, Everton memerlukan satu sepakan penalti pada minit ke-90 untuk meraih keputusan seri di Brighton & Hove Albion, tewas di tempat sendiri kepada Lyon dalam Liga Europa – memanjangkan rentetan permulaan terburuk oleh sebuah pasukan Inggeris dalam kejohanan itu.

Hakikat bahawa mereka dibelasah Arsenal dalam perlawanan terbaru, sekadar memuktamadkan pemecatan Koeman.

Tidak syak lagi perbelanjaan besar pada musim panas lalu meningkatkan jangkaan ke atas Koeman tetapi barangkali dengan pengecualian pembelian penjaga gol, Jordan Pickford, yang bernilai £30 juta (RM168 juta) dan kepulangan Wayne Rooney ke kelab asalnya, pembelian lain nyata tidak memberi pulangan segera.

Gylfi Sigurdsson dan Davy Klaassen menelan dana hampir £70 juta (RM392 juta) tetapi hanya memberikan impak minimum manakala pemain-pemain senior seperti Ashley Williams dan Morgan Schneiderlin jelas berprestasi hambar.

Penjualan Romelu Lukaku dengan harga £90 juta (RM504 juta) kepada Manchester United dan kegagalan menampung kekosongan yang ditinggalkannya meninggalkan impak besar terhadap prestasi Everton secara keseluruhannya.

Banyak yang akan turut dipersoalkan terhadap keberkesanan Steve Walsh selaku pengarah bola sepak kelab itu pada musim panas lalu tetapi kesudahannya, Koeman – yang bergelut untuk menampilkan sebuah pasukan yang mantap – harus menanggung padahnya.

Pengurus berusia 54 tahun itu memiliki baki lebih 18 bulan dalam kontraknya dan akan berlalu pergi dengan pampasan lumayan.

Bersambung: Siapa lagi akan dipecat selepas ini?