“Tiga puluh sembilan tahun adalah tempoh yang cukup lama memegang jawatan,” itu kata bekas penyerang Reading dan Stoke City, Dave Kitson terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Gordon Taylor.

Dalam temubual khas untuk rancangan Squeky Bum Time baru-baru ini, Kitson mendedahkan dia mengambil masa setahun sebelum bertindak menyuarakan rasa kurang senang terhadap Taylor, serta menyuarakan kesediaannya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif PFA yang baharu.

Beberapa media arus perdana di Britain turut melaporkan, Kitson mendapat sokongan daripada 300 pemain dan bekas pemain untuk mendesak Taylor meletak jawatan.

Taylor adalah pemimpin sebuah kesatuan paling lama di Britain iaitu sejak 1981.

“Secara jujur saya percaya perubahan di PFA amat diperlukan ketika ini dan saya sentiasa mempunyai idea menambah baik persatuan itu.

“Sama ada saya atau individu lain selaku ketua pegawai eksekutif, ia tidak penting kerana keutamaan adalah pembahruan.

“Ketika ini, kita tidak tahu proses pemilihan pucuk pimpinan baharu PFA, kerana tempoh yang cukup lama Taylor memimpin,” kata Kitson kepada Stadium Astro.

Kitson sebelum ini turut melontarkan 101 soalan kepada PFA di akhbar Daily Mail dan berharap, persatuan itu segera memberikan jawapan.

Rasa kurang senang terhadap Taylor dan PFA tampak memuncak selepas isu cadangan pemotongan gaji pemain, gara-gara epidemik Covid19 baru-baru ini.

Kitson dalam temubual bersama Stadium Astro turut menyuarakan kekecewaan terhadap PFA, ekoran kegagalan membantu pemain yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“PFA ada menyediakan talian bantuan yang boleh dihubungi bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“Tetapi ia bukan mudah buat pemain yang melalui kemurungan, bercakap dalam talian dengan individu yang tidak dikenali.

“Dalam hal ini, saya percaya PFA perlu gandakan usaha mereka membantu pemain yang amat memerlukan sokongan.

“Kesuhatan mental satu masalah besar dan ia tidak hanya berlaku di England, tetapi kepada pemain profesional seluruh dunia,” kata Kitson.

Di laman sosial, terdapat bekas pemain yang menyokong dan terdapat juga segelintir yang kurang senang dengan kesediaan Kitson memimpin PFA.

Bagi penulis jika berlakunya perubahan dan terdapat pucuk pimpinan bari PFA, struktur persatuan itu juga perlu dikaji semula.

Mungkin gariskan tempoh masa atau penggal tertentu buat seorang ketua pegawai eksekutif berkhidmat dengan persatuan itu.

PFA juga wajar meluaskan lagi usaha memperjuangkan hak pemain profesional di England yang merupakan fungsi utama mereka.