Sekarang sedang berlangsungnya temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia. Atlet-atlet para kita masih berjuang di sana demi mengharumkan nama negara.

Tetapi, di sebalik perjuangan mereka dan penat lelah petugas media memberi laporan terkini mengenai pencapaian atlet di sana, tular di laman sosial mengenai kekecewaan pihak media yang difahamkan berkecil hati dengan satu kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Petikan daripada laman sosialnya yang memberikan pujian dan kredit kepada dua stesen radio yang tidak putus-putus memberikan laporan meluas terhadap perkembangan atlet para negara memberi tempias kepada media lain seperti kami sendiri di Astro Arena yang menghantar kru di sana demi laporan terkini.

Semestinya dalam setiap temasya berlangsung, media sangat memainkan peranan dalam usaha memberikan liputan terbaik untuk peminat sukan. Sedikit pun kami tidak mengharapkan apa-apa kredit atau pujian, asalkan penonton atau pembaca dapat mengetahui perkembangan atlet dengan terbaik.

Penulis tahu, mungkin YB Syed Saddiq tidak berniat melupakan para media lain yang berada di Jakarta ketika ini melaporkan berita. Tetapi, bagi penulis adalah lebih baik agar kenyataan berkenaan lebih umum berbanding hanya memberi fokus kepada satu atau dua nama.

Walau apapun, penulis tetap berbangga dengan rakan setugas di sana, Zulhelmi Zainal Azam, bersama jurukamera, Saiful dan beberapa media lain seperti Bernama dan Malaysia Invasion Spirit in Motion (MISIM) yang turut sama berpenat-lelah mengikuti perkembangan setiap atlet para dalam Sukan Para Asia edisi ini.

Berbeza nama, berbeza syarikat, tetapi media sukan ibarat satu keluarga hanya untuk memberikan laporan terbaik kepada anda.

Teruskan menyokong perjalanan atlet para kita dalam Sukan Para Asia 2018 !