Tiada siapa yang mahu tewas. Apatah lagi mengaku kalah sebelum melawan. Namun, adat pertandingan itulah sebuah perjalanan.

Selepas 10 hari berada di bumi Tokyo, pelbagai reaksi yang dapat dilihat. Bukan sahaja dari atlet mahupun petugas negara, malah dari seluruh dunia.

Benar, pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini sangat memeritkan. Rata-rata bila ditanya semuanya berasa amat tertekan. Apatah lagi buat atlit yang berjuang untuk menumbangkan lawan. Mereka sehabis daya mencuba untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik walaupun dunia di ambang tekanan. Maka menitislah air mata mereka apabila keputusan diterima amat pahit untuk ditelan.

Untuk atlit Malaysia yang sudah tumpas, air matamu bukan untuk dijual. Ambillah semangat Leong Mun Yee yang tak pernah jemu dengan erti gagal. Biarkan sahaja jika ada mulut-mulut yang bicara kerana mereka memang suka menyangkal. Suatu hari pengorbanan kalian pasti akan dibalas dengan satu keajaiban.

Harus dipuji penampilan pertama kali Lee Zii Jia. Masih muda, ada gaya, ini bukan pengakhiran buat dirinya. Biarkan dia lihat yang ini bukan mimpi ngeri tetapi inilah realiti. Kesetiaan regu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying; regu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan peraeorangan wanita, Soniia Cheah, tumpas namun tetap melawan demi Malaysia.

Ketika catatan ini ditulis, masih ada lagi beberapa atlit negara yang masih berjuang. Pemanah negara Khairul Anuar Mohamed masih bergelut bersaing dengan lawan dari Korea. Regu badminton lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menentang pasangan Indonesia bagi penentuan pingat gangsa.

Sementara itu, Nur Dhabitah Sabri, Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong masing-masing sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan dalam acara terjun di Pusat Akuatik Nasional Tokyo.

Bagi acara golf yang diwakili oleh Gavin Kyle Green dan Kelly Tan kini sedang bertarung. Acara perlayaran pula, pasangan Noor Juni Kamariah dan Aisyah Jamil masih lagi bersaing untuk mendapat tempat 10 terbaik esok dalam kategori 470, untuk laluan ke final.

Jangan lupa wahai rakyat Malaysia, Dato' Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sharom masih belum lagi beraksi lagi dalam acara berbasikal trek. Ayuh kita berikan sokongan buat mereka. Ini bukan masa untuk kita mencari salah siapa bak dalam 'Dewan yang Mulia'. Hasilnya??? Tak jadi apa. Terus merana.

Lupakan kisah duka kita. Jangan dikeji kekecewaan Lee Hup Wei mahupun Farah Ann Abdul Hadi yang bekerja keras. Hargailah mereka seperti Azreen Nabila Alias yang berjaya mencatat rekod peribadi. Mereka inilah individu yang membawa nama negara dari kita yang hanya pandai berkata-kata.

Doa untuk mereka, itu senjata kita. Pastinya kilauan yang ingin kita saksikan itu akan muncul dari bumi Matahari Terbit ini. Dari siapa? Dari usaha mereka melalui yang Maha Esa.

1 Emas, 1 Perak, 1 Gangsa. Cukup 3. Ganbatte MALAYSIA!!!