Pernah anda menonton filem hindustan, Chak De! lakonan Shah Rukh Khan, dimana beliau memainkan watak sebagai jurulatih hoki wanita India dan kisah perjalanannya untuk menghimpunkan barisan pemain India dari seluruh daerah yang berbeza dialek, apatah lagi hoki wanita di India adalah satu tabu, sehingga digelakkan masyarakat kerana merasakan wanita lebih sesuai menjadi suri rumah dan memasak di dapur.

Jika ya, kisah yang ingin saya ceritakan ini juga hampir sama dengan filem itu.

Hoki bukanlah sesuatu yang asing buat Malaysia, kita antara negara yang menjadi pencabar di peringkat dunia, namun itu cerita hoki kategori lelaki, lain pula dalam saingan wanita.

Secara jujur mereka dipandang sepi, itu diakui sendiri pengendalinya, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang menganggap pasukan ini langsung tiada harapan ketika mula mengambil alih skuad hoki wanita negara.

“Ramai rakan-rakan dalam bidang hoki yang merasakan saya buang masa apabila buat keputusan beralih menjadi jurulatih skuad hoki wanita, kerana mereka ini langsung tiada harapan”

Tapi Dhaarma simpan impian untuk ubah persepsi itu, dia membuat kerja gila dengan memaksa skuad wanita negara turun berlatih seawal jam 5 pagi.

Wartawan sukan di Malaysia pun pada mulanya tidak percaya dengan waktu latihan diterapkan Dhaarma, tapi bila ada segelintir yang datang untuk menemubual pemain pada pukul 8 pagi (waktu normal atlit berlatih) di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, apa yang dijumpai adalah para pemain sudah siap-siap berkemas untuk pulang kerana latihan sesi pagi sudah tamat.

Mereka pernah ke China pada Mac 2016 untuk harungi lima perlawanan persahabatan, dan pasukan kebangsaan China tidak mahu bermain dengan skuad negara, kerana merasakan Malaysia tidak cukup bagus dan hanya mewakilkan pasukan remaja untuk bermain dengan Malaysia.

Situasi sama apabila mereka berkunjung ke Australia bulan Oktober lalu, kalau diikutkan mereka akan bersaing dalam Divisyen 1 Liga Hoki Australia, namun mereka diarah untuk bersaing dalam Divisyen 2 atas alasan takut dibelasah, namun The Malaysia Tigress buktikan mereka bukan pasukan belasahan.

Dan dalam saingan Liga Hoki Wanita Dunia pusingan kedua, mereka buktikan yang mereka setaraf dengan barisan pemain hoki dunia, semestinya kejutan paling besar, mengalahkan Itali di peringkat separuh akhir.

Perlu diingat, sebelum bermulanya kejohanan, ramai pemerhati sukan hoki meramalkan Itali dan Ireland akan merebut slot ke Separuh Akhir Liga Dunia Jun depan, tapi seperti sebuah kisah filem epik, ditambah pula eleman sukan yang penuh kejutan, Malaysia melakukan apa yang mustahil, menewaskan Itali, pasukan di ranking ke 15 dunia dalam saingan penalti shoot out dengan keputusan 2-1.

Dan lebih menarik, sebelum sesi penalti shoot out dijalankan, penjaga gol Malaysia, Farah Ayuni Yahya sempat bawa satu nota kecil yang tercatat analisis para pemain Itali ambil pukulan penalti untuk menidakkan empat pukulan penalti pemain Itali.

Meskipun tewas dalam perlawanan akhir kepada Ireland 3-0, kisah perjuangan mereka menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia.

Jika penggiat filem sedang mencari satu kisah sebenar yang mahu diadaptasi ke layar perak, kisah skuad hoki wanita negara patut dijadikan subjek mereka.

Agak-agak kalau kisah filem ini jadi, siapa pelakon wanita yang sesuai bawa watak pemain hayun kayu hoki?