Disebalik kejayaan pasukan Inner Mongolia menewaskan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) dengan keputusan 9-4 dalam aksi final Kejohanan Hoki Empat Penjuru minggu lalu, watak yang perlu diberi perhatian bukanlah di dalam padang, tetapi di barisan penonton.

Kim Sang Ryul yang duduk di satu sudut tersorok memerhatikan anak buahnya beraksi cemerlang membelasah pasukan Sarjit Singh tanpa belas ihsan. Sang Ryul bukanlah insan asing dalam dunia hoki antarabangsa, pernah mengecapi beberapa kejayaan di pentas dunia, antaranya membimbing pasukan Korea Selatan memenangi pingat perak Olimpik Sydney 2000.

Kini dia berkelana membantu juara hoki China, Inner Mongolia, dengan bertindak sebagai pengarah teknikal mereka. Pada usia 61 tahun, fizikalnya masih tegap dan bersemangat.

Penulis sempat bertanyakan beberapa soalan kepadanya selepas tamat perlawanan final, antaranya pengalamannya membimbing pasukan hoki wanita China ke Olimpik.

"Saya tidak mahu bicara mengenai itu, saya rasa menyesal membuat keputusan untuk bimbing pasukan itu dan saya harap tidak akan lagi dalam hayat saya akan kembali ke sana!"

Sang Ryul akui dia tidak suka membimbing pasukan itu atas beberapa faktor seperti tiada rasa hormat pemain terhadapnya dan kesukaran untuk bekerjasama dengan pemain.

"Bimbing pasukan hoki lelaki pun tidak sesukar ini, anda tahu!"

Sang Ryul yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak dua kali, tahun 1988 dan 1996 pernah ditawarkan kontrak untuk membimbing pasukan Malaysia sekitar tahun 2012, namun ambil keputusan untuk kembali ke Korea Selatan, membimbing pasukan hoki wanita negara itu. Dan Malaysia memlilih Paul Revington dari Afrika Selatan untuk mengemudi jawatan ketua jurulatih hoki negara.

Sang Ryul bakal tamat kontraknya dengan pasukan Inner Mongolia pada September 2017 dan saya curi kesempatan dengan bertanya kepada Sang Ryul :

"Anda ingin kembali ke Malaysia selepas ini?"

"Mengapa tidak, saya sedia datang bertugas di Malaysia walaupun umur saya bakal jejak 62 tahun !"

Nah, Sang Ryul sudah suarakan keinginan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) apa kata anda?