Apa yang berlaku kepada Khalid Jamlus bukan sesuatu yang dijangka.

Sebagai bekas pemain bola sepak tersohor, nasib Khalid ketika ini tidak sepatutnya berlaku.

Aku hidup di zaman kegemilangan Khalid, di mana era kehebatan Khalid, aku berada di sekolah menengah.

Fenomena Khalid ketika itu, turut membawa kepada kegilaan ramai peminat wanita yang mengkagumi kehebatan pemain ini di atas padang selain, Khalid turut tergolong dalam senarai pemain bola yang ‘good looking.’

Keratan akhbar yang memaparkan wajah Khalid diletakkan di dalam kotak pensel, dilekatkan di meja bilik darjah adalah sesuatu yang biasa dan ‘trending’ ketika itu.

Jika di hostel, gambar khalid di almari baju, di katil asrama, umpama satu kemestian untuk setiap pelajar.

Seiring dengan pencapaian pemain ini, aku mengikuti rapat perkembangan dari semasa ke semasa sehingga lah aku sendiri berada di bidang kewartawanan sukan, menyaksikan Khalid Jamlus di hujung era sebagai pemain.

Pengakhiran Khalid sebagai pemain bola sepak hanya berlalu sepi.

Liputannya tidak setanding perhatian yang diterima anak jati Perak ini ketika bergelar pemain yang hebat.

"Kalau orang cakap aku ‘lagend’, ini adalah realiti. ‘Lagend’ yang hanya diterima sebagai pemain bukan untuk kelangsungan seterusnya".

Kesukaran untuk Khalid meneruskan kelangsungan hidup, membawa kepada usaha melelong barangan peribadinya termasuk Anugerah Kasut Emas yang diterima pada 2002, selain medal serta jersi dengan jumlah terkumpul secara keseluruhan RM16,000.

"Tolak bayar kereta, tolak bayar motor, tolak bayar bil lain lain, pembelajaran anak-anak, adalah lebih RM4700, ok la boleh la hidup sampai dua bulan lagi".

"Ada hamba Allah dari Sabah berminat untuk dapatkan Anugerah Kasut Emas ini dengan jumlah RM50,000, belum diserahkan lagi. Sebenarnya ini sahaja yang tinggal untuk kenangan aku".

"Tapi kalau tiada pilihan .. aku terpaksa lepaskan ... ".

Kata-kata Khalid bersahaja, nampak tenang dan diselang seli dengan gurauannya, tapi dalam hati siapa yang tahu ...