Pelari terpantas negara, Khairul Hafiz Jantan, kini mempunyai 'musuh' baru yang mampu merampas gelarannya sebagai raja pecut Asia Tenggara dalam Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

'Musuh' itu ialah raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri, yang mencipta kejutan menewaskan dua pelari Amerika Syarikat untuk meraih pingat emas 100 meter Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2018 di Tampere, Finland, baru-baru ini.

Menariknya, pelari Indonesia berusia 18 tahun itu menang menerusi catatan masa 10.18 saat, sama dengan rekod 100m kebangsaan dilakukan Khairul dua tahun lalu.

Kelebihan lebih banyak memihak kepada Lalu berbanding Khairul memandangkan pelari terpantas negara itu sudah lama tidak melakukan catatan masa bawah 10.20s atau menyamai 10.18s sejak mencipta rekod kebangsaan pada 2016.

Saya percaya Khairul pastinya menyedari situasi ini dan saya berharap ia akan membakar semangatnya untuk mencipta catatan masa lebih pantas daripada 10.18s.

Motivasi ini sekurang-kurangnya dapat membantu Khairul yang sedang menjalani latihan bersama kuartet 4x100m negara di Weinheim, Jerman, dalam persediaan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 bermula bulan depan.

Untuk membolehkan Khairul memadam rekod kebangsaan dengan catatan lebih pantas, atlet dari Melaka itu perlu diberikan banyak pendedahan berkualiti tinggi dari segi latihan dan pertandingan antarabangsa.

Jika terus diberikan pendedahan berkualiti, saya percaya Khairul mampu untuk memadam rekod 10.18s kerana dia mempunyai masa sehingga November tahun depan sebelum bermulanya Sukan SEA 2019.

Mungkin Khairul dan pelari-pelari pecut negara yang lain dapat diberikan peluang untuk terus berlatih di Eropah atau di negara kuasa besar olahraga dunia, Amerika Syarikat, kerana saya diberitahu atlet Indonesia berkenaan juga berlatih di sana.

Jika Indonesia mampu melahirkan pelari pecut yang berstatus juara remaja dunia, adakah Malaysia mahu berdiam diri melihat sahaja situasi ini?