Khabib Nurmagomedov menegaskan dia sudah ‘tidak perlu membuktikan apa-apa lagi’ berikutan persaraannya daripada kancah UFC.

Menurut Khabib, keutuhan hubungan dia dengan ibunya jauh mengatasi sebarang godaan untuk kembali ke gelanggang oktagon.

Bekas juara kategori lightweight itu mengumumkan persaraannya pada UFC 254 bulan Oktober tahun lalu, di mana dia turut bersumpah untuk tidak lagi bertanding selepas kehilangan bapanya, Abdulmanap, akibat koronavirus.



Presiden UFC, Dana White, menaruh harapan besar agar dapat memujuk Khabib untuk kembali ke gelanggang dan mengadakan perlawanan ulangan menentang Connor Mcgregor.

Namun, rancangan itu terpaksa dirombak akibat Mcgregor ditewaskan secara mengejut oleh Dustin Poirier di samping Khabib memberitahu White yang tidak ada seorang pun saingannya dalam UFC yang boleh dianggap sebagai ‘lawan setanding’.

Pada hujung minggu lalu, Khabib sekali lagi menegaskan yang dia tidak akan kembali ke gelanggang dan White juga nampaknya sudah mengaku kalah dalam usaha untuk memujuknya.

“Ia sukar untuk mengatakan ‘tidak’ apabila saya sedar saya adalah antara pejuang terbaik di dunia, apabila saya sedar yang saya terkenal, apabila saya mempunyai wang yang banyak,” katanya sewaktu siaran pasca perlawanan UFC Vegas 22.

“Keputusan ini sukar.

“Ramai yang tidak akan dapat memahami keputusan saya ini, tetapi saya harap mereka menghormatinya.

“Semua orang mempunyai pendapat tersendiri, manakala untuk diri saya, saya berpendapat yang saya harus berhenti bertarung demi menjaga hubungan saya dan ibu saya.

“Saya menceburi bidang ini untuk membuktikan yang saya adalah pejuang terbaik.

“Saya adalah seorang juara dunia, pejuang nombor satu, saya mempertahankan kejuaraan saya sebanyak tiga kali, saya memenangi perlawanan terbesar dalam sejarah UFC,” katanya lagi seperti dipetik akhbar Daily Mail.



Apa lagi yang tinggal selepas ini?

Cuma pertarungan dengan ganjaran besar, itu sahaja.

“Pertarungan sebegitu adalah sesuatu yang tidak saya perlukan,” ujarnya.

Sekarang ini, Khabib berharap dapat membantu rakan-rakan senegaranya untuk mencipta nama dalam kancah UFC, terutama sekali Islam Makhachev yang dia ramalkan akan menjadi juara kategori lightweight pada tahun depan.