Perak menghadapi masalah penyudah tumpul yang begitu meruncing dalam kancah Liga Malaysia terutama Piala Malaysia 2019.

Kepincangan ini jelas menjejas keinginan Perak mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu apabila kedudukannya dalam kumpulan B ketika ini juga tampak belum selamat.

Jika kepincangan itu gagal diatasi maka The Bos Gaurus boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia kali ini.

Daripada segi permainan, Perak tidak menghadapi sebarang masalah kerana mampu bermain cantik dengan corak kemas serta hantaran tepat untuk merobek benteng lawan tetapi dihampakan oleh ketiadaan penyudah.

Masalah itu jugalah yang menyebabkan Perak gagal menjulang Piala FA biarpun menguasai aksi final dengan Kedah di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai lalu. Perak tumpas 0-1.

Kembali kepada Piala Malaysia, setakat ini Perak mengutip lima mata selepas empat perlawanan hasil satu kemenangan, dua kali seri dan tumpas sekali.

Pahang awal-awal lagi sudah mengesahkan kemaraan ke suku akhir daripada kumpulan B itu sekaligus meninggalkan satu lagi kekosongan untuk direbut oleh Perak, Pulau Pinang dan juga Sabah.

Sabah, bagaimanapun, mungkin boleh melupakan impian ke suku akhir selepas mengalami empat kekalahan.

Manakala Perak dan Pulau Pinang, yang masing-masing mengumpul lima mata, secara realistik berpeluang cerah untuk meneruskan kemaraan dengan syarat memenangi baki dua perlawanan masing-masing.

Begitupun, dengan masalah dihadapi oleh pasukan The Bos Gaurus itu, sukar meramalkan Perak akan berjaya kecuali kepincangan itu dapat diatasi.

Jentera serangan Perak terdiri daripada Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais @Careca, perlu memperbaiki kelemahan mereka dalam baki dua perlawanan.

Kedua-dua pemain Brazil itu, yang menunjukkan ketajaman apabila diambil menggantikan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Wunder Luiz Biten Court Junior semasa tingkap perpindahan kedua Jun lalu dalam saingan Liga Super, tiba-tiba menghadapi masalah menyumbat bola ke dalam gawang lawan.

Begitupun, tidak adil untuk hanya menyalahkan Ronaldo dan Careca walaupun selaku penyerang, tugas utama mereka ialah menjaring gol.

Ini kerana tugas meledak gol seharusnya dipikul secara kolektif oleh semua pemain terutama pemain di posisi sayap seperti Nor Hakim Hassan dan J Partiban, yang juga perlu menyempurnakan peluang gol yang dicipta pasukan.

Brendan Gan juga sering membuktikan dia boleh diharapkan untuk menjaringkan gol dalam keadaan tertentu.

Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, juga berjaya menyumbang gol kerana mempunyai tandukan berbisa semasa sepakan sudut.

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi atau Eki dan Mohd Firdaus Saiyadi @ Fi juga perlu membuktikan ketajaman dan menggunakan peluang menjaringkan gol apabila diberikan kesempatan beraksi.

Jika itu dapat dilakukan, mereka bukan sahaja akan meningkatkan nilai diri dan juga keyakinan pegawai pasukan terhadap kemampuan mereka agar diturunkan dalam kesebelasan permulaan.

Dua pemain ini yang mempunyai perwatakan mantap dan membuat impak besar sebelum ini, malangnya kini sudah menjadi suam-suam kuku.

Berikutan kegagalan menampilkan aksi bertenaga menyebabkan jurulatih, Mehmet Durakovic, lebih kerap menurunkan mereka selaku pemain simpanan dan hanya dimasukkan dalam baki 10 minit terakhir.

Justeru, jika dapat menjadi penyelamat Perak dalam baki kempen kali ini, mereka sudah pasti akan kembali menjadi wira The Bos Gaurus.