Sebut sahaja Diaz sebelum ini, pasti ramai jurulatih lawan tidak menggemari pemain ini. Sama ada tidak suka dengan kelincahan atau lakonannya, Diaz tetap dibenci oleh pihak lawan.

Hampir semua jurulatih ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pasti pening kepala jika pemain kelahiran Argentina itu beraksi.

Diaz atau nama penuhnya Jorge Rolando Pereyra Diaz mula mewarnai kancah Liga Malaysia pada 2014. Namun, dia hadir dengan reputasi sederhana jika dibandingkan dengan beberapa pemain import ternama lain.

Musim pertama bersama JDT, dia berjaya meraih 15 gol daripada 29 penampilan dalam liga, namun ketika itu dia dibayangi dengan kehebatan bekas rakan gandingannya di jentera serangan Luciano Figueroa.

Musim kedua pula, dia tidak banyak beraksi bersama JDT kerana dipinjamkan ke kelab Argentina Independiente pada Julai 2015, tahun yang memahat sejarah bola sepak negara apabila JDT menjuarai Piala AFC.

Diaz kembali ke pangkuan Harimau Selatan untuk musim 2016. Tanpa Figueroa, Diaz membentuk gandingan bersama Juan Martin Lucero. Bekas pemain Lanus itu memacu JDT menerusi gelaran hatrik Liga Super selain Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Diaz turut mencatat sejarah peribadi apabila muncul penjaring terbanyak Liga Super 2016 dengan 18 gol untuk menjadikan rekod jaringannya bersama JDT dalam tempoh tiga musim sebanyak 50 gol daripada 68 penampilan keseluruhan.

Namun, kelibat Diaz tiada lagi musim depan. Dia dilaporkan sudah meleraikan ikatan bersama JDT. Penulis percaya perkhabaran ini menggembirakan jurulatih lain untuk cabaran 2017.

Penulis boleh katakan, situasi ini mirip apabila Dickson Nwakaeme tidak beraksi untuk mana-mana pasukan dalam Liga M musim ini setelah kelibat bekas awang import Pahang itu sering mengundang banyak keluhan jurulatih lawan kerana kehebatannya di atas padang.

Enggan menyentuh isu kenyataan Diaz di laman media sosial terhadap bekas majikannya JDT, penulis percaya ketiadaan Diaz untuk saingan Liga M 2017 bagai satu hadiah buat pasukan lawan kecuali JDT mendapat pengganti yang lebih hebat daripada Diaz!