"Pasukan yang tenang akan menang perlawanan ni."

Itu jawapan jurulatih remaja kebangsaan, Aminah Ashaari, ketika ditanya Selangor Angels atau Johor Jewels yang akan memenangi aksi timbal balik yang menentukan kedudukan juara Kumpulan B pada Ahad.


Tugasan mengulas perlawanan Netball Super League (NSL) 2021 bersama Aminah banyak saya gunakan untuk mengenali karakter pemain di dalam gelanggang, baik senior mahupun yang sedang meningkat naik.

Aminah, yang lebih senang disapa sebagai Kak Min, memang banyak menghabiskan masa bersama skuad bola jaring kebangsaan dan dia tidak terkejut langsung ketika Jewels dan Angels terikat seri, 50 – 50 dalam aksi pertama.

“Johor dan Selangor adalah dua pasukan yang berbeza kekuatan dan berbeza juga kelemahan mereka. Jadi, peluang untuk menang itu sebenarnya seimbang”.

Keseimbangan memberikan risiko lebih besar kepada Jewels yang ketinggalan dengan Angels dari sudut peratusan gol – satu lagi keputusan seri memberi kelebihan untuk Angels mengelak pertemuan dengan juara Kumpulan A, KL Wildcats di separuh akhir.

Lantas Jewels yang dikendalikan jurulatih muda, Fazira Mesnan, mengambil peluang menetapkan bagaimana perlawanan ini sepatutnya berlangsung, menerusi kekuatan dua midfielder berpengalaman mereka, Pow Mei Foong dan Fariha Razak.

Sama ada strategi yang direncana atau sekadar kebetulan, ianya berhasil mengejutkan Angels yang memaksa jurulatihnya, Rosnani Ismail, memasukkan Yeoh Pek Xian lebih awal untuk menukar momentum di bahagian tengah, melihatkan kepada kesukaran bola sampai kepada goal shooter Angels, An Najwa Azizan.

An Najwa selaku kapten menunjukkan contoh yang baik dengan tidak melepaskan satu pun peluang yang sampai kepadanya, berhasil menjaringkan 10 gol daripada 10 percubaan dalam suku pertama dan kemasukan Pek Xian pula mula menampakkan hasil yang cukup baik dengan kebangkitan Selangor dalam suku kedua.

Namun, suku ketiga adalah tempoh paling kritikal bagi perlawanan terakhir pusingan kedua peringkat kumpulan itu dan disinilah Jewels mendapat manfaat dari ketenangan para pemainnya.

Mei Foong yang kekal beraksi di posisi center dilihat memperkemas kawalan ke atas Pek Xian – antara titik kejatuhan semula Angels yang kembali kepada situasi kelam kabut. Pertukaran demi pertukaran yang dilakukan Rosnani termasuk meletakkan L. Karishma di posisi goal keeper juga seakan tidak menjadi.

Hasilnya tekanan semakin berkurangan buat Jewels dengan mula mencipta jurang selesa di suku keempat yang hanya menyerlahkan lagi kemantapan goal shooter berbakat, Nuraina Raziani.

Sempat juga Jewels melancarkan perang psikologi awal dengan show off kepada lawan yang menanti di separuh akhir, Perak Phoenix, yang kapten kesayangan, Noor Azilah Aziz, sudah bersedia untuk kembali diturunkan selepas kecederaan lutut membelenggunya pada hari pembukaan NSL.