Semboyan telah dibunyikan dan gendang pun telah di palu itulah erti kata yang boleh dikaitkan dengan perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim dan Selangor pada hari esok.

Di mana penyokong-penyokong kedua-dua pasukan itu telah pun memulakan perang psikologi di media-media sosial untuk menyemarakkan lagi perlawanan itu walaupun mereka tidak dapat hadir bersama-sama di stadium bagi memberikan sokongan. Pertemuan dua pasukan ini sudah pasti akan menjadi tumpuan semua pencinta bola sepak negara kerana kedua-dua pasukan ini adalah merupakan seteru utama masa kini. Perlawanan ini akan menguji sejauh mana kemampuan Selangor untuk menyekat seketika hajat JDT untuk menjulang Liga Super musim ini.

Mengikut rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini ia memihak kepada JDT sudah pasti ini tugas yang begitu sukar kepada B. Sathianathan dan anak-anak buahnya apabila bertandang ke stadium keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim nanti. Melihat dari segi prestasi terkini pasukan Selangor agak berat untuk melayani prestasi JDT yang sedang meningkat naik setelah mencipta kemenangan di tempat lawan ketika berhadapan dengan Terengganu minggu lalu. Ini akan memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain Selangor. Tetapi tidak mustahil untuk Selangor membuat kejutan sekiranya anak-anak buah Sathianathan dapat mengikut strategi dan perancangan yang telah di atur walaupun Selangor tidak dapat menurunkan ayam tambatannya iaitu Branden Gan dan Khairul Azhan Khalid.

Inilah masanya pemain-pemain Selangor perlu menonjolkan watak dan karektor mereka yang sebenar sekiranya ingin mengekang jentera serangan pasukan JDT yang begitu tajam penyundahnya. Disiplin di atas padang dan mengekalkan konsentrasi pada setiap saat oleh pemain-pemain Selangor juga akan memainkan peranan dalam menyaingi kehebatan pasukan JDT. Tidak boleh dinafikan JDT adalah sebuah pasukan yang lengkap dari sudut taktikal dan teknikal pemain-pemainnya namun sekiranya pemain-pemain Selangor dapat mengawal tempo permain dan dapat mematikan setiap gerakan dari awal pasti akan membantu pemain-pemain Selangor untuk meningkatkan keyakinan diri mereka. Dimana pemain-pemain Selangor tidak boleh membiarkan pasukan JDT mengusai permainan sebaliknya perlu memenangi bola di kawasan lawan dengan taktikal bertahan secara berpasukan. Itulah cara yang boleh mematikan rentak permainan JDT yang terkenal dengan falsafah “build up attack” dengan mengunakan kemahiran individu dan kepantasan setiap pemain dalam gerakan dan keputusan pantas mereka.

Ketajaman penyudah pasukan Selangor juga akan menentukan nasib mereka esok berbanding dengan pasukan JDT yang mempunyai ramai pemain-pemain yang boleh melakukan penyudah. Sama-samalah kita nantikan pasukan mana akan berputih mata, adakah JDT ataupun Selangor yang akan kecundang di stadium keramat JDT?