"Saya sanggup gunakan semua wang yang dimiliki untuk mendapatkan karier yang sempurna."

Satu ungkapan yang jelas dan mudah difahami daripada pemain Borussia Dortmund, Marco Reus, menerusi satu temu bual bersama majalah dari Jerman, GQ.

Episod kecederaan Reus bukan satu perkara yang asing buat semua peminat bola sepak di serata dunia, namun tempoh rehat panjang yang sedang dilalui bintang berusia 28 tahun itu membuatkan dirinya semakin tertekan.



Sejak berhijrah ke Dortmund pada tahun 2012, pemain yang terkenal dengan jolokan Woody Woodpecker ketika bersama Borussia Monchengladbach itu telah mengalami hampir semua jenis kecederaan yang ditakuti oleh setiap pemain bola sepak.

Putus urat ligamen lutut (ACL), masalah pada bahagian tumit, kecederaan paha, patah tulang metatarsus serta masalah buku lali, semuanya sudah dilalui olehnya sehingga menyebabkannya gagal beraksi dalam beberapa kejohanan besar seperti Piala Dunia 2014 dan Kejohanan Eropah 2016 (Euro 2016).

Reus yang turut dikenali dengan nama Rolls Reus itu terlepas peluang untuk menjulang trofi paling berprestij di dunia (Piala Dunia) bersama skuad Die Mannschaft pada 2014 selepas mengalami koyakan kecil pada ligamen pergelangan kakinya, tidak lama selepas separuh masa kedua dalam perlawanan persahabatan menentang Armenia.



Dua tahun selepas itu, sekali lagi Reus terpaksa disisihkan daripada pasukan kendalian Joachim Low menjelang Euro 2016 di Perancis, kali ini disebabkan kecederaan tulang pinggul sehingga memaksanya berehat selama 175 hari. Dalam tahun yang sama, dia turut berehat pada November disebabkan kecederaan tumit.

Bagaimanapun, pemain yang sering menyaksikan perlawanan dari bangku penonton itu tetap menjadi pilihan setiap pengendali Die Borussen, tidak kira Jurgen Klopp, Thomas Tuchel atau Peter Bosz.

Rekod 89 jaringan dan 61 bantuan jaringan hasil daripada 189 penampilan dalam semua kejohanan buat Dortmund juga membuatkan dia kekal menjadi pemain kegemaran semua peminat skuad Die Schwarzgelben.



Ketika saingan musim 2017/18 yang kini sedang memasuki suku pertama pertandingan, Reus sekadar menyaksikan aksi Dortmund menerusi kaca televisyen akibat kecederaan ACL yang sekali lagi membelenggu dirinya, Mei lalu.

Dalam aksi final Piala Jerman itu, Dortmund berjaya menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 dan Reus disenaraikan dalam kesebelasan utama, namun terpaksa diusung sebelum tamat perlawanan dan selepas melalui proses imbasan, Reus disahkan perlu berehat sehingga 1 Mac tahun depan.



Tatkala Piala Dunia 2018 berbaki kurang daripada 250 hari, Reus pasti amat tertekan kerana tidak mustahil aksi di Russia mungkin menjadi peluang terakhirnya untuk menyarung jersi Jerman di pentas tertinggi itu, melihat kepada lambakan pemain muda yang ditampilkan Low ketika saingan Piala Konfederasi, Jun lalu.

Semoga Reus akan dapat melalui proses pemulihan seperti yang dirancang kerana penggemar Bundesliga amat rindukan kelincahan Woody Woodpecker.