Piala Dunia bakal menjadi pentas paling berprestij yang bakal dinanti-nantikan, masa untuk pemain-pemain terbaik daripada kelab terkenal di dunia untuk beraksi dan menjuarai gelaran yang terulung dalam sukan bola sepak.

Piala Dunia Russia 2018 sudah pasti bakal menampilkan pasukan yang berjaya mencipta kejutan dalam saingan kelayakan seperti Mesir yang menamatkan kemarau 28 tahun untuk kembali beraksi di pentas ini manakala pasukan kerdil, Iceland, yang meneruskan impak mereka dalam Euro 2016 apabila mengungguli saingan kelayakan Kumpulan I.



Menerusi artikel dari The Telegraph, di bawah merupakan 11 pemain yang akan terlepas saingan di Russia nanti.

Jan Oblak: Slovenia dan Atletico Madrid

Diundi sebagai penjaga gol terbaik LaLiga dalam tempoh dua tahun berturut-turut, pemain berusia 24 tahun ini masih lagi terlepas untuk membuat penampilan pertama dalam Piala Dunia apabila bersaing dalam Kumpulan F yang dimenangi oleh England.

Antonio Valencia: Ecuador dan Manchester United

Persembahan yang konsisten dipamerkan oleh bek kanan ini sehingga Valencia dipilih sebagai pemain terbaik di Old Trafford musim lalu. Tetapi pemain berusia 32 tahun itu gagal menjadi inspirasi Ecuador untuk membuat penampilan ketiga dalam Piala Dunia.

Virgil van Dijk: Belanda dan Southampton

Van Dijk tidak berahsia mengenani keinginannya untuk meninggalkan St. Mary, dan jika dia masih berada bersama pasukan sehingga Jun, dia mungkin terpaksa menunggu sehingga musim depan untuk mempamerkan kualitinya apabila Belanda menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga.

Gary Medel: Chile dan Besiktas

Bekas pemain Sevilla dan Inter Milan ini merupakan seorang pemain berpengaruh untuk skuad kebangsaannya, bagaimanapun tidak berjaya membantu mereka ke Piala Dunia apabila tersisih daripada slot kelayakan saingan zon Amerika Selatan.

David Alaba: Austria dan Bayern Munich

Pemenang enam gelaran Bundesliga dan satu Liga Juara-Juara (UCL), karier Alaba di pentas antarabangsa gagal menyaingi persembahannya bersama kelab selepas sekadar beraksi dalam satu kejohanan utama, iaitu Euro 2016.

Naby Keita: Guinea dan RB Leipzig

Pemain yang bakal menyertai Liverpool ini bakal bebas daripada sebarang masalah kecergasan di Anfield bagi musim hadapan selepas Guinea gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Arturo Vidal: Chile dan Bayern Munich

Pemain tengah berpengalaman untuk Chile dan Bayern ini telah beraksi dalam dua edisi Piala Dunia, tidak dapat diturunkan dalam perlawanan terakhir saingan kelayakan berdepan Brazil dan sekadar menyaksikan pasukannya tewas 3-0, sekaligus gagal menempah slot ke Russia.



Gareth Bale: Wales dan Real Madrid

Wales mula memahat nama mereka di pentas antarabangsa tetapi pengalaman beraksi dalam separuh akhir Euro 2016 tidak mencukupi buat mereka apabila terlepas slot play-off untuk mendapatkan tiket pertama beraksi dalam Piala Dunia.

Arjen Robben: Belanda dan Bayern Munich

Pemain veteran yang beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia, Robben, telah mengumumkan persaraannya daripada saingan bola sepak antarabangsa apabila gagal untuk membantu pasukannya beraksi dalam Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Alexis Sanchez: Chile dan Arsenal

Chile terpaksa berputih mata di saat-saat akhir untuk mendapatkan slot aksi play-off apabila Peru menyamakan kedudukan ketika bertemu Colombia dan ia bermakna bintang Arsenal itu tidak akan mampu mempamerkan magisnya bersama La Roja di Russia tahun depan.



Pierre-Emerick Aubameyang: Gabon dan Borussia Dortmund

Gabon tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia dan kekurangan pemain-pemain berkualiti memaksa negara Afrika itu bersama-sama penyerang berbakat, Aubameyang, mungkin tidak akan berpeluang untuk beraksi di pentas tertinggi itu.