Seorang rakan wartawan pernah mempelawa saya merasai keropok lekor unik, rupanya seperti 'fishcake' tetapi memang terbaik.

Ketika itu kami membuat liputan Le Tour de Langkawi 2010.

"Kalau kita makan keropok ni, kita pun akan kayuh laju macam Azizul," kata rakan saya sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

Saya masih ingat, 2010 antara musim terbaik Azizul apabila muncul naib juara dunia acara keirin. Dia bersaing sengit dengan musuh ketat, Chris Hoy sebelum tewas hanya setengah tayar di final.

Sukan Olimpik London 2012 juga menyaksikan pertembungan dua jaguh ini. Sekali lagi, Hoy menewaskan Azizul yang sekadar raih tangga keenam keirin.

Selepas London, The Pocketrocketman sedikit menyepi kerana sibuk dengan pelajaran dan menguruskan keluarga di Melbourne, Australia.

Emas Siri Piala Dunia Klasik dan Kejohanan Berbasikal Asia dianggap pencapaian sederhana - kerana reputasinya yang terlalu besar.

Namun, ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berjaya menyemarakkan kembali nama Azizul.

Dia menghuni ranking pertama dunia acara keirin!

Semua pihak mengucapkan tahniah termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Ranking itu dijangka berubah apabila UCI mengemaskini mata pelumba dunia tetapi untuk seketika, Azizul akan merasai nikmat bergelar pelumba nombor satu dunia.

"Ade hantar keropok lekor ke Melbourne ke?" saya berseloroh dengan rakan wartawan dulu.

"Saya rasa apa yang dia perlukan ialah keluarga dan sokongan rakyat Malaysia. Kita akan sentiasa memantau perkembangannya kerana Rio ialah peluang terbaik Azizul untuk membawa pulang pingat Olimpik," kata rakan wartawan saya.

Jika ada kesempatan kami akan kembali mencari keropok lekor terbaik dunia di Dungun, Terengganu.

Bercerita mengenai kehebatan Azizul dan bekas jurulatihnya, Allahyarham Rozimi Omar yang sebelum ini kerap membawa keropok lekor terbaik dunia jika datang ke Kuala Lumpur.