Manchester United semakin hampir melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) apabila berjaya menumbangkan Benfica 2- 0 di laman sendiri.

Jika perlawanan di tempat lawan tempoh lalu menyaksikan United bergelut untuk meraih tiga mata, suasana berbeza di ‘Theater Of Dreams ‘ apabila mereka mendominasi keseluruhan perlawanan.

Menang 2-0 sudah tentu menggembirakan penyokong tuan rumah namun ada perkara lain yang mencuri perhatian. Bermula dari kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-15 oleh Anthony Martial, sepakan penalti yang diperoleh pada separuh masa kedua, menyaksikan perebutan antara beberapa tonggak United.

Sepakan penalti yang kedua diperoleh apabila Marcus Rashford dikasari didalam kotak penalti dan pada mulanya, Romero Lukaku yang ketandusan jaringan gol dalam enam perlawanan dilihat mahu mengambil sepakan penalti tetapi Mourinho memberikan isyarat dari tepi padang yang tidak mahu Lukaku mengambil sepakan itu.

Ander Herrera kemudian dilihat tampil mahu menggantikan tempat Lukaku namun ‘The Special One’ akhirnya memberikan arahan agar Daley Blind mengambil sepakan dan beliau berjaya menyempurnakannya.

Isu sepakan penalti dalam perlawanan ini turut menjadi topik hangat di media sosial, namun Dayang berasakan selagi penalti itu masuk, tidak kisahlah siapa pun yang menyepaknya. Dayang turut percaya Mourinho mempunyai hak untuk memilih siapa yang patut mengambil sepakan penalti.

Laporan media antarabangsa turut menyatakan keputusan memilih Daley Blind dibuat berdasarkan prestasinya sewaktu latihan sepakan penalti.

Apa-apa pun, Dayang tetap bergembira atas aksi cemerlang Manchester United di saingan liga juara-juara Eropah, biarpun pasukan lain di Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea tewas mengejut di tangan AS Roma.