Kepulangan penjaga gol nombor satu negara, S. Kumar, sememangnya satu berita gembira buat seluruh peminat sukan hoki tanah air menjelang dua kejohanan besar.

Kejohanan besar pertama ialah misi memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos ini, agar meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, sebagai juara benua Asia.

Seterusnya ialah Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada November ini.

Keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menamatkan hukuman penggantungan Kumar hanya berlarutan selama enam bulan sejak Oktober tahun lepas dan berakhir 15 April lalu kerana positif doping bahan terlarang jenis sibutramine, hadir pada waktu yang tepat.

FIH berasakan Kumar tidak perlu menjalani proses pendengaran kerana rekodnya yang bersih menjalani ujian doping sebelum ini dengan difahamkan dia tidak pernah positif sepanjang 10 ujian sejak beraksi dengan skuad hoki negara.

Malah, kerjasama yang baik ditunjukkan penjaga gol berpengalaman itu dengan FIH yang tidak mencabar untuk menguji sampel B dan bersabar menanti keputusan badan induk hoki dunia itu ternyata satu tindakan yang berbaloi.

Saya berasakan skuad hoki negara memerlukan pengalaman dan kecekapan Kumar bagi memastikan gawang Malaysia kebal meskipun dia sudah pun berusia 38 tahun.

Tidak menidakkan keupayaan dua lagi penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohamad Hairi Abd. Rahman, tetapi kehadiran semula Kumar secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dan semangat pasukan.

Namun, perkara positif daripada ketiadaan Kumar membolehkan ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, menilai prestasi Hafizuddin dan Hairi dalam dua kejohanan besar seperti Piala Sultan Azlan Shah 2018 dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kini, pastinya Stephen 'pening kepala' untuk memilih dua penjaga gol terbaiknya menghadapi Sukan Asia 2018 dan Piala Dunia 2018.

Mungkin enam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan nombor dua dunia, Argentina, selepas ini boleh memberikan gambaran terbaik kepada Stephen untuk membawa dua penjaga gol terbaiknya.

Walaupun sudah bebas daripada penggantungan, ia tidak bermakna Kumar akan senang-lenang diserapkan ke dalam barisan 18 terbaik kerana dia pastinya perlu menjalani proses pemilihan sama seperti Hafizuddin dan Hairi.

Cuma, apa yang pasti ialah kehadiran Kumar sememangnya akan mewujudkan semula aura gerun skuad hoki negara terhadap pencabar-pencabar utama dalam Sukan Asia 2018 nanti seperti India, Pakistan dan Korea Selatan.

Kumar cukup terkenal dengan tindak balas yang pantas dalam menyelamatkan percubaan lawan terutama dari segi pukulan sudut penalti dan ketangkasan menutup ruang ketika situasi satu lawan satu.

Ayuh kita bersama-sama memberikan sokongan kepada skuad hoki negara dan berharap agar Kumar dapat kembali menemui sentuhan terbaiknya dalam tempoh yang cepat.

Satu pujian harus diberikan kepada Kumar kerana walaupun digantung sebelum ini tetapi sanggup menjalani latihan secara bersendirian bagi memastikan tahap dirinya tidak ketinggalan jauh dengan pemain-pemain lain.