Frank Lampard tidak pun berselindung dengan hakikat Kepa Arrizabalaga mungkin sudah mengakhiri peluangnya selaku penjaga gol nombor satu Chelsea.

‘Shot stopper’ antarabangsa Sepanyol itu mengharungi satu lagi hari yang harus segera dilupakan dalam kekalahan 0-2 kepada Liverpool awal pagi semalam, dengan pengurus The Blues itu menuding jari kepadanya sebagai punca mereka menyerahkan tiga mata.

Tambahan pula, kedudukannya tidak dipermudahkan oleh khabar bahawa Chelsea semakin hampir mendatangkan penggantinya, Edouard Mendy daripada Rennes, dengan perjanjian bernilai £20 juta (RM106 juta) minggu ini.

Memetik laporan akhbar Daily Star, Kepa gagal menepati jangkaan sejak perpindahannya daripada Athletic Bilbao pada 2018 – yuran perpindahan rekod dunia bagi seorang penjaga gol setinggi £70 juta (RM370 juta) sekadar menggandakan tekanan buatnya.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu harus pasrah memanaskan tempat duduk empuk pemain simpanan selepas ini sejurus perjanjian dengan Mendy ditandatangani.



“Kami perlu terus bekerja. Kepa juga perlu terus bekerja. Dia memerlukan sokongan di sekelilingnya. Ia jelas satu kesilapan di pihaknya (ketika kalah kepada Liverpool),” kata Lampard.

Dia menambah: “Dia adalah pemain kami. Ia jelas kini terdapat dua perlawanan kami menanggung akibatnya. Hari ini adalah satu kesilapan jelas dan (pertemuan) dengan Brighton juga menyaksikan dia melakukan kesilapan dan dia menyedarinya.

“Kepa perlu terus bekerja, tiada siapa yang cuba melakukan kesilapan dalam bola sepak, ia adalah asam garam dalam permainan ini.

“Anda perlu kuat, anda terus melangkah dan di situlah kedudukan terkininya.”

Andai Lampard masih menaruh simpati, bekas pemain The Blues, Chris Sutton, pula melabelkan Kepa sebagai penjaga gol dengan kegagalan terbesar di kelab itu selepas satu lagi siri kesilapan dalam pertemuan dengan Liverpool itu.

Kesilapannya membenarkan Sadio Mane merampas bola daripadanya untuk penyerang antarabangsa Senegal itu menggandakan kelebihan The Reds pada minit ke-54, hanya empat minit selepas jaringan pertamanya, tidak mengundang kemaafan.



Di sebalik Sutton sendiri dianggap satu kegagalan bersama Chelsea dalam 28 penampilannya di antara 1999-2000, namun Kepa dianggapnya adalah satu kegagalan lebih besar.

“Anda boleh membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk barisan serangan tapi jika penjaga gol anda tidak pun setanding, apakah gunanya?

“Kepa Arrizabalaga membuat Chelsea membelanjakan £71.6 juta pada 2018 tapi dia tidak membuktikan dirinya berbaloi selaku penjaga gol termahal di dunia,” kata Sutton seperti dipetik akhbar Daily Mail.

“Dalam melakukan satu lagi kesilapan budak sekolah, dia sekadar mengukuhkan kedudukannya selaku pembelian Chelsea yang paling teruk dalam era Liga Perdana.”