Tidak adil jika prestasi bola sepak pantai negara dipersoal ketika ada pihak lain yang perlu bertanggungjawab dengan kegagalan mereka untuk menyerlah dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC 2017.

Persediaan singkat tanpa pemain yang benar-benar mendapat pendedahan, skuad kerdil ini cukup berani berhadapan pasukan yang menghuni ranking dunia yang lebih tinggi berbanding skuad negara.

Menerusi latihan selama dua minggu sahaja mana mungkin keputusan magis mampu dilakar ketika pasukan lain berhadapan dengan beberapa aksi persahabatan antarabangsa sebelum tiba di Kuala Terengganu.

Tanpa pemilihan pemain terbaik, tiada sebarang kejohanan antarabangsa sejak tiga tahun lalu, bahkan tiada sebarang liga domestik, tidak hairan jika Malaysia hanya dianggap sebagai pasukan belasahan.

Yang nyata, sukan bola sepak pantai ibarat anak pungut yang sering dinafikan peluang mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin terlupa selain bola sepak dan futsal, tanggungjawab mereka juga perlu selari dengan perkembangan bola sepak pantai.

Menurut jurulatih negara, Ismail Zakaria, persediaan Malaysia hanya cukup syarat sahaja ketika AFC memilih Terengganu sebagai venue pilihan kejohanan tahun ini.

Kehadiran Malaysia dibarisi pemain sejak 2008 selain kelibat pemain baru yang pada hakikatnya belum layak menyarung jersi negara.

'Tiada pemilihan, pemain utama terdiri daripada pemain lama dan beberapa pemain yang dikenalpasti tiga tahun lalu, masa suntuk jadi kita pakai apa yang ada je.'

Bukan menafikan potensi negara malah Malaysia antara pasukan yang mampu bersaing dalam keadaan serba kekurangan.

Benar mereka tewas dengan margin besar 14-0 membabitkan pasukan Iran namun Iran merupakan pasukan di ranking ke-5 dunia sedangkan Malaysia begitu jauh ketinggalan.

Malaysia juga tewas tipis kepada Bahrain dan Afghanistan namun ada persaingan yang ditonjolkan pasukan negara ketika kedua pasukan lawan ini miliki liga profesional di negara mereka sedangkan perkembangan skuad negara ibarat hidup segan mati tak mahu.

Malah jurulatih dari China, Bahrain mahupun Iran berpandangan Malaysia begitu berpotensi untuk menguasai pentas Asia andai mendapat sokongan daripada semua pihak.