Ini kisah kapten Arsenal Granit Xhaka, yang pasti ramai telah tahu dia sentap ketika diminta keluar padang dan dia menunjuk tanda yang kurang sopan kepada penyokong-penyokong the Gunners yang mengejeknya ketika dia berjalan menuju terowong.

Apa yang dilakukan Xhaka tidak menggambarkan ciri-ciri seorang kapten dan emosinya memainkan peranan utama. Dia tidak selindung ketidakpuasan hatinya ketika insiden hujung minggu lalu.

Xhaka yang baru berusia 27 tahun mungkin belum matang seperti kapten-kapten terdahulu Arsenal, tetapi apa yang membuatkan Xhaka hingga melakukan perkara tersebut minggu lalu ialah kerana dia tidak dapat menerima hakikat bahawa penyokong-penyokong Arsenal tidak suka kepadanya dan tiada kepercayaan kepadanya selaku kapten.

Tambahan pula, pihak media dan segelintir penyokong sering menghentam Xhaka dan segala kritikan dan kutukan ini akhirnya jelas terpampang di wajah Xhaka kerana bukan semua pemain mempunyai mentaliti yang kuat dan mampu abaikan cemuhan yang dilontarkan.

Kini Arsenal menawarkan khidmat kaunseling kepada Xhaka supaya dia boleh "move on" daripada insiden itu, tetapi iktibar yang perlu diambil juga, pemain-pemain bukanlah robot dan mempunyai perasaan dan emosi. Bukan semua pemain boleh menerima kecaman yang dilontarkan dan kita juga patut memahami apa yang dilalui Xhaka kerana dia juga manusia biasa dan diharapkan ini akan menjadi pengajaran kepadanya DNA pemain-pemain lain pada masa akan datang.