Jadi, Ralf Rangnick eh? Individu yang bakal menjadi pengganti Ole Gunnar Solskjaer sehingga hujung musim ini, sebelum dilaporkan bakal diberi tanggungjawab yang lebih menyeluruh di peringkat pengurusan.

Apabila berita ini dilaporkan secara eksklusif oleh wartawan The Athletic, David Ornstein malam tadi, segelintir pangkalan peminat Man Utd menunjukkan keraguan yang berbeza. Ada segelintir yang diselubungi kekeliruan kerana Rangnick bukanlah nama yang sering kita dengar atau sebut apabila berbicara tentang jurulatih-jurulatih terbaik di dunia. Tetapi, ada juga yang cukup mengenali Rangnick tetapi memiliki keraguan dari sudut pandangan keserasian.

Sebelum kita melihat aspek keserasian taktikal, kita perlu terlebih dahulu memahami karakteristik Ralf Rangnick.


SIAPA RALF RANGNICK?

Bayangkan. 2008. Hoffenheim, kelab bolasepak yang mewakili sebuah kampung dengan populasi sekitar hanya 3,000 orang, bakal beraksi di pentas Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah mereka. Selepas membantu Die Kraichgauer mendapatkan dua promosi dalam dua musim berturut-turut, Ralf Rangnick kini sedang bersedia untuk tugas yang lebih mencabar; berdepan dengan hegemoni kelab-kelab dari bandar-bandar terbesar di seluruh Jerman.

Tujuan saya memberi gambaran ini adalah untuk anda memahami corak pemikiran progresif yang dimiliki manusia yang dikenali sebagai Ralf Rangnick ini. Antara perkara utama yang dilakukan Rangnick pada ketika ini adalah untuk melantik Bernhard Peters, bekas jurulatih skuad hoki kebangsaan Jerman, sebagai ‘Head of Performance’.

Peters pernah membantu Jerman menjuarai Piala Dunia Hoki dua kali. Kali pertama pada tahun 2002, dan kali kedua pada tahun 2006. Pada ketika itu, jurulatih skuad bolasepak kebangsaan Jerman, Jurgen Klinsmann menyarankan kepada Persatuan Bolasepak Jerman untuk melantik Peters sebagai Pengarah Teknikal, tetapi cadangan tersebut ditolak atas sebab tidak mempunyai latar belakang bolasepak.

Dikala badan induk bolasepak di Jerman sendiri tidak dapat melihat kelebihan progresif yang boleh diperoleh dari pelantikan tersebut, Ralf Rangnick, seperti biasa, melanggar arus dengan membawa masuk Peters ke Hoffenheim.Hasilnya? Peters menjadi antara individu paling penting dalam membantu Rangnick membina sistem menyerang dan juga pemahaman taktikal yang melihat Hoffenheim bermain sebuah jenama bolasepak yang disanjungi seluruh Eropah pada ketika itu. Mereka menamatkan musim tersebut di tempat ke-7.


Ini mungkin cara terbaik untuk kita memahami pengurus sementara baru Man Utd, Ralf Rangnick sebagai seorang jurulatih, dan mungkin yang lebih penting, sebagai seorang manusia. Pelanggar arus. Progresif. Pengambil risiko. Obses dengan butiran kecil. Pemikir luar kotak.

Realitinya, Ralf Rangnick tidak pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah. Dia tidak pernah membina kejuaraan demi kejuaraan domestik di sesebuah negara. Resume yang dimiliki Rangnick tidak menunjukkan kejayaan yang ketara atau tangible. Tetapi Rangnick bukan seorang pakar bolasepak yang taksub dengan kejayaan yang boleh diukur di atas kertas. Dia adalah seorang ahli falsafah yang lebih taksub dengan idea, konsep dan proses implementasi yang berlaku di padang latihan. Mungkin juga individu dengan pengaruh terbesar terhadap bolasepak sejak zaman Johan Cruyff.

‘Pressing’ adalah istilah yang cukup biasa kita dengar hari ini, dan konsep taktikal tersebut adalah sesuatu yang kerap kita lihat di atas padang - dipergunakan oleh pelbagai jenis pasukan dari pelbagai rantau berbeza. Arrigo Sacchi sering dilabel sebagai individu yang mencetuskan konsep pressing bersama skuad ikonik AC Milan sekitar penghujung 80an dan awal 90an. Dibawah Sacchi, Milan membuka mata Eropah terhadap sebuah corak permainan berintensiti tinggi yang tidak pernah dilihat sebelum itu.

Namun, Rangnick adalah individu yang dikatakan menyempurnakan konsep pressing dan melahirkan ideologi ‘Gegenpressing’. Pada tahun 1998, Rangnick membuat penampilan dalam sebuah rancangan bolasepak di televisyen Jerman, dan memberikan sebuah penerangan cukup ikonik tentang falsafah pressing yang digunakannya untuk membantu SSV Ulm melayakkan diri ke pentas Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah mereka. Temubual tersebut disambut dengan nada sinis oleh komuniti bolasepak Jerman, yang sekadar melihat Rangnick sebagai ‘ahli falsafah’ dan bukan ‘jurulatih’.



Tetapi hampir dua dekad selepas itu, ideologi Rangnick kini menjadi ramuan asas kepada hampir semua jurulatih terbaik di dunia. Gegenpressing muncul identiti utama Klopp di Dortmund, dan kemudiannya Liverpool. Konsep ‘vertical football’ yang menjadi identiti utama Thomas Tuchel, turut berteraskan ideologi pressing Rangnick. Segala aksi berintensiti tinggi yang ditampilkan Southampton dibawah Ralph Hasenhuttl turut memiliki DNA Rangnick. Malah, tidak mustahil untuk kita mengatakan bahawa hampir kesemua jurulatih yang menerangkan sebarang konsep pressing dalam sistem taktikal mereka pada hari ini, perlu berterima kasih kepada Rangnick.

Impak Rangnick dari sudut pandangan kejurulatihan, tidak boleh dinafikan. Tetapi kebolehannya bukan sekadar itu sahaja. Dia juga individu yang bertanggung jawab membina DNA bolasepak yang digunakan oleh ekosistem bolasepak RedBull pada ketika ini. Konsistensi identiti yang ada pada setiap skuad bolasepak dibawah naungan RB Leipzig dan RB Salzburg adalah hasil perancangan berskala besar yang direncanakan oleh Rangnick.

Buat sebuah kelab yang dibenci oleh komuniti bolasepak Jerman (atas sebab peraturan 50+1), revolusi Rangnick di RB Leipzig menjadi antara daya tarikan terpenting buat kelab tersebut. Ya betul, ini bukan kelab yang berpaksikan tradisi dan budaya bolasepak Jerman. Tetapi kecekapan di peringkat pengurusan korporat dan keberkesanan corak bolasepak yang dimainkan muncul terlalu menggiurkan dan menggodakan.

APA YANG BAKAL DIBAWA RANGNICK KE OLD TRAFFORD?

Jadi persoalan yang lebih penting, apa yang bakal kita lihat dari Rangnick di Old Trafford? Adakah dia calon yang tepat dari keserasian? Apakah Man Utd memiliki barisan pemain yang tepat untuk melaksanakan corak permainan yang dimahukan Rangnick?

Kita perlu melihat perkara ini dari beberapa sudut yang berbeza. Yang pertama, Rangnick telah ditawarkan jawatan pengurus sehingga hujung musim ini, sebelum bakal mengisi posisi yang lebih menyeluruh seperti mungkin Pengarah Teknikal atau Sukan. Perkara ini penting, kerana Rangnick bukan seorang individu yang akan menerima tawaran yang bersifat sementara. Dia pernah menolak tawaran untuk menjadi jurulatih sementara Chelsea, dan trajektori kariernya menunjukkan bahawa Rangnick sentiasa lebih memilih projek yang mempunyai masa depan.

Pada masa yang sama, Rangnick juga adalah individu yang sentiasa mahukan kebebasan untuk membuat keputusan dan melaksanakan ideanya, tanpa dikekang oleh pihak atasan. Jadi, jika dia menerima tawaran Man Utd, ia sedikit sebanyak bermaksud bahawa Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan, yang diketuai keluarga Glazers bersetuju untuk memberikan autonomi dan kebebasan tersebut kepada Rangnick. Sekiranya tidak, perlu diingatkan bahawa Rangnick adalah seorang individu yang tidak akan tergamak untuk meletak jawatan, seperti yang pernah dilakukannya di Hoffenheim apabila kelab tersebut menjual Luis Gustavo tanpa ‘lampu hijau’ dari Rangnick.


Dari perspektif jangka masa pendek, Rangnick akan membantu Man Utd memiliki struktur yang lebih jelas dan identiti yang lebih ketara di atas padang. Jika ketandusan elemen-elemen seperti ini menjadi definisi era Ole di Man Utd, Rangnick akan memastikan the Red Devils beraksi dengan pelan yang jelas dan struktur yang nyata. Perkara ini akan membantu pemain-pemain yang bersifat ‘System Players’ ataupun pemain yang lebih bergantung kepada sistem seperti Donny van de Beek, Jadon Sancho dan Fred, untuk lebih menyinar.

Kita juga boleh melihat Man Utd untuk beraksi dengan corak high pressing yang berintensiti tinggi, dan identiti ini juga mungkin menjadi falsafah utama Man Utd buat tahun-tahun yang akan datang. Mengapa? Secara teori, Rangnick boleh menerapkan idea-idea tersebut, sebelum memainkan peranan Pengarah Sukan untuk mencari jurulatih paling tepat untuk meneruskan DNA bolasepak itu. Ini mungkin menjadi sebab utama disebalik persetujuan 2.5 tahun, di antara United dan Rangnick.

Ini tidak bermakna Man Utd akan berubah menjadi ‘title contenders’ dalam masa satu minggu. Proses penerapan identiti sering kali mengambil masa, dan segalanya bergantung kepada kelajuan proses adaptasi dikalangan barisan pemain. Proses transisi yang melibatkan pemahaman bolasepak baru bukan sesuatu yang mudah, dan turut perlu mengambil kira kapasiti dan kesungguhan seorang pemain. Anthony Martial mungkin memiliki umur, stamina dan tenaga untuk mengetuai sebuah jentera pressing tetapi adakah dia memiliki kesungguhan dan kemahuan untuk tugas tersebut? Cristiano Ronaldo mungkin memiliki kekuatan mental untuk berdepan dengan proses adaptasi, tetapi adakah dia mempunyai kapasiti dan kesungguhan untuk melaksanakan ‘Gegenpressing’?

Persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh barisan pemain dalam minggu dan bulan yang akan datang. Apa yang pasti, Ralf Rangnick adalah seorang jurulatih yang berprinsip dan berkaliber, seorang ahli falsafah yang sentiasa memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah, dan pada masa yang sama, seorang manusia yang bijak dalam membina hubungan peribadi bersama rakan setugas dan pemainnya. Ini peluang terbaik Man Utd untuk menutup zaman Sir Alex Ferguson dan segala kesilapan yang dilakukan selepas itu, demi membuka lembaran era baru.