Tidak akan saya lupa saat pesilat negara kelas C Putera, Muhammad Zarish Hakim terkena tendangan keras oleh pesilat dari Indonesia, Hanifan Yudaini pada aksi suku akhir Selasa lalu.

Zarish yang ditendang di bahagian rahang muka terus pengsan serta-merta dan perlawanan ditangguhkan seketika. Namun, apa yang membuatkan skuad Malaysia tidak berpuas hati adalah keputusan wasit yang memberi kemenangan percuma kepada Indonesia walaupun pesilat itu telah melakukan serangan di bahagian yang tidak dibenarkan sehingga Zarish tidak sedarkan diri.

Ditambah pula, pihak doktor mengesahkan Zarish masih lagi mampu beraksi dan mengandaikan dia hanya berpura-pura pengsan sedangkan sudah jelas dan nyata wakil negara itu tidak sedarkan diri. Agak kecoh situasi ketika itu antara jurulatih Malaysia dan pihak wasit.

Tiada apa yang boleh dilakukan kerana keputusan tetap tidak berganjak jika prostes dilakukan. Nasri Nasir selaku jurulatih hanya mampu untuk mengingatkan anak buah yang lain agar waspada kepada pesilat dari Indonesia selepas ini.

Zarish yang telah keluar dari hospital kini dalam keadaan stabil. Berkongsi pengalaman pahit itu, dia hanya sedarkan diri sewaktu berada dalam hospital kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Pasti menjadi kenangan yang paling tidak dilupakan Zarish memandangkan ia adalah penampilan pertamanya di pentas dunia.

Jadi, apa lagi yang akan berlaku selepas ini? Selepas insiden berkenaan dan juga isu penganjuran yang tidak teratur, diharapkan pihak Indonesia lebih ambil serius hal yang berlaku ini.

Semestinya bukan menjadi kejohanan dunia yang manis buat skuad negara ketika ini. Walaubagaimanapun, perjuangan harus diteruskan. Sama-sama kita nantikan aksi final pada 8 Disember ini.