Kemenangan sulung di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) oleh skuad kebangsaan ke atas Indonesia sejak 2004 semalam jelas cukup dramatik, biarpun ia hanya aksi pertama Kumpulan G dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dengan sokongan padu penyokong tuan rumah di GBK, sudah pasti Indonesia dilihat pilihan untuk merakam tiga mata di gelanggang keramat mereka itu ke atas barisan negara yang juga seteru utama mereka.

Meskipun dua kali ketinggalan kepada skuad Garuda, ia tidak melunturkan semangat pemain negara untuk terus bangkit sehingga tiga mata berjaya dibawa pulang.

Pada pengamatan penulis, faktor kejayaan barisan negara menewaskan Indonesia ialah kerana pemain berupaya kekal disiplin dalam menterjemahkan percaturan taktikal pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, di atas padang.

Tidak dinafikan beberapa pemain negara gagal menyerlah di babak pertama perlawanan, serta gagal menangani corak permainan agresif Indonesia yang membolehkan lawan mendahului.

Namun, barisan negara tetap mengekalkan disiplin dalam permainan mereka serta tidak terlalu bertahan sambil enggan menghiraukan provokasi penyokong Indonesia di dalam stadium yang menyaksikan kebangkitan dalam babak kedua.

Penulis juga berasakan tiga pemain -- Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh dan Brendan Gan -- adalah pemain yang memainkan peranan penting dalam memastikan pasukan tidak kehilangan rentak permainan meskipun dua kali ketinggalan dengan Indonesia.

Syafiq yang boleh beraksi di posisi tengah, sayap dan penyerang, beraksi baik selaku pemain tengah menyerang dan turut meraih gol penyamaan kedua negara dalam babak kedua.

Brendan pula tampak berpengaruh di bahagian tengah, bergandingan baik bersama Syafiq dan Nor Azam Azih serta kerap juga membantu bahagian pertahanan ketika diasak lawan.

Sumbangan Sumareh jelas kelihatan dengan dua gol jaringannya selain pemain kelahiran Gambia itu turut terbabit dengan beberapa gerakan yang mengancam benteng lawan.

Kelibat Sumareh di GBK juga membuktikan mengapa Cheng Hoe menyifatkan pemain sayap Pahang itu antara nadi utama pasukan negara yang tidak diturunkan dalam aksi persahabatan berdepan Jordan sebelum ini kerana risau dengan risiko kecederaannya.

Kemenangan Malaysia di GBK kali ini mengingatkan pertemuan penulis dengan bekas penyerang Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto, yang menjalani kursus Kejurulatihan Diploma ProfesionaL AFC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika itu, Kurniawan mengatakan Indonesia tidak gentar berdepan Malaysia dalam mana-mana pertandingan bawah umur serta senior, namun bekas pemain FC Luzern, Switzerland itu mengakui mereka sentiasa risau berdepan Malaysia.

Ia adalah kerana Malaysia mempunyai pendekatan taktikal yang baik yang kadang-kala berjaya menjerat Indonesia meskipun skuad Garuda kadang-kala mempunyai pemain yang mempunyai kemahiran individu yang lebih tinggi.

Ternyata pandangan Kurniawan itu menjadi kenyataan dengan skuad B-18 negara sebelum ini menewaskan Indonesia 4-3 dalam separuh akhir Kejohanan AFF B-18 serta kemenangan barisan senior Harimau Malaya ke atas Garuda.

Apa pun, tahniah sekali lagi buat skuad Harimau Malaya dan kita mengharapkan aksi lebih konsisten dijelmakan untuk aksi kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berdepan lawan lebih ampuh iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10 September ini.