Kisah percintaan Cristiano Ronaldo dan Manchester United ibarat sesuatu yang agung dalam dunia bola sepak.

Cinta yang mula berputik pada musim panas 2003,seorang remaja berbakat disunting gergasi England.

Menyusul untuk enam tahun berikutnya cukup indah,Ronaldo mendefinisikan apa itu erti sebenar "The Theatre of Dreams" di Old Trafford.

Menggarap setiap imaginasi penyokong United menerusi aksi mengujakan,gelecekan lincah dan sepakan percuma berbisa.

Lebih luar biasa Ronaldo lakukan semua itu dengan menyarung jersi keramat no 7 meneruskan tradisi pemain hebat sebelumnya,Bryan Robson,Eric Cantona,David Beckham.

Tetapi perhubungan Ronaldo dan United mula menampakkan kegoyahan pada 2008 apabila cinta sebenar jejaka handalan Portugal ini datang memanggil,Real Madrid.

Tidak menjadi rahisa,Ronaldo sejak kecil menyemat impian untuk satu hari mengulit mimpi,melayar bahtera bersama Los Blancos.

Pujukan United buat Ronaldo hanya bertahan untuk semusim dan The Red Devils akhirnya merelakan pemergian dia dengan perpindahan termahal waktu itu pada 2009.

Sehingga hari ini belum ada individu yang berupaya mengisi kekosongan ditinggalkan Ronaldo ke atas United dan penyokongnya.

Ada yang cuba untuk memadam bayangan Ronaldo di Old Trafford namun no 7 di belakang Michael Owen mahupun Memphis Depay tidak sama istimewanya.

Kekasih yang hebat terbukti tidak akan pergi begitu sahaja dan untuk kesekian kalinya nama Ronaldo meniti di bibir penyokong United.

Desas-desus perpindahan sensasi terus bermain di fikiran penyokong United apakah Ronaldo akan kembali ke pangkuan cinta pertamanya.

Permasalahan dengan Cinta pertama,tidak dinafikan istimewa, tetapi tidak selalunya bertahan hingga ke hujung nyawa.

Akan ada waktu,kelibat cinta pertama buat anda tersenyum,buat anda terkenang setiap yang dihargai.

Tetapi sering kali yang dilupakan adalah hakikat mengapa percintaan pertama ini tidak bertahan seperti yang dimahukan.

Realitinya Manchester United bukan cinta pertama Ronaldo,hati itu milik Real Madrid,pedih bukan memikirkan United hanya perhubungan bersifat persinggahan.

Sekalipun takdir kembali mempertemukan Ronaldo dan United selepas ini,percayalah,tidak akan sama percintaan ini seperti waktu dulu.

Jika berjaya maka termaktub mutlak kisah agung ini,Jika tidak Ronaldo hanya tinggal sebagai kekasih yang tidak pernah kembali.