Pasukan hoki lelaki Malaysia berjaya mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, apabila menewaskan Korea 2-1.

Malaysia juga adalah pasukan pertama dalam Kejohanan ini yang layak ke Kumpulan Super 4 walaupun ada lagi satu perlawanan menentang Oman selepas ini.

Satu lagi slot ke Pusingan Super 4 adalah diantara Korea dan juga China yang akan bertemu di perlawanan terakhir mereka nanti.

Malaysia mendahului 2-0 menerusi gol yang di jaringkan oleh Faizal Saari dan Azri Hassan menerusi pukulan sudut penalti.

Sebelum tamat suku ke-2, Korea merapatkan kedudukan melalui gol padang.

Secara keseluruhannya pasukan Malaysia bermain dengan taktikal yang cemerlang. Sepanjang empat suku permainan, mereka menukar strategi permainan mengikut situasi dan kedudukan perlawanan. Walaupun semasa bermain separuh padang dan banyak memberi ruang untuk Korea naik keatas bagi memberikan tekanan demi tekanan ke atas pasukan Malaysia, pertahanan kekal teratur.

Pujian harus diberikan kepada pertahanan pasukan Malaysia terutamanya di Suku ketiga dan keempat. Mereka berjaya membentuk pertahanan secara berpasukan yang mantap serta berdisplin menafikan Korea daripada menjaringkan gol penyamaan.

Sasaran di peringkat kumpulan ini telah dicapai untuk berada dalam kelompok dua teratas. Edisi kali ini menampilkan format Kejohanan yang berbeza. Tiada separuh akhir, sekaligus membuatkan berada di kedudukan teratas kumpulan atau dua pasukan terbaik tidak banyak perbezaannya kerana dua pasukan daripada Kumpulan A dan B akan ke saingan ataupun Kumpulan Super 4. Empat pasukan ini akan bemain secara Round Robin dan 2 pasukan teratas akan ke final.

Itulah peringkat yang paling penting dimana tiga perlawanan akan datang akan ditemukan dengan pasukan pasukan terbaik di Kejohanan Piala Asia ini.

Turun bertemu dengan Oman nanti, pemain-pemain harus mengelakkan diri daripada dilanda kecederaan. Di Pusingan Super 4 ini, kecergasan setiap pemain amat penting dan diperlukan untuk memastikan pasukan negara dapat memberikan tentangan dalam merebut tempat ke final.

Ini tidak bermakna pasukan Negara harus bermain sambil lewa menentang Oman. Perlu menang dalam mengekalkan momentum kemenangan Negara dan memastikan reputasi Malaysia sebagai pasukan yang telah layak ke Piala Dunia.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Faizal Saari setakat ini telah menjaringkan 4 gol yang telah dipilih sebagai penjaring Gol Tercantik perlawanan manakala adiknya Fitri Saari dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.