Beraksi di pentas Piala Dunia sudah pasti menjadi impian buat semua pemain bola sepak tidak kira di peringkat amatur mahupun profesional.

Keinginan menyarung jersi pasukan kebangsaan dan membantu negara yang diwakili layak ke Piala Dunia juga dianggap antara perjuangan yang amat dinantikan.

Tapi bagaimana jika anda sudah bermain di lima edisi Piala Dunia?

Itu rekod yang dilakukan oleh pemain veteran Mexico, Rafael Marquez apabila menjadi pemain ketiga dalam sejarah untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia.

Dia menyamai pencapaian yang dilakukan rakan senegara, Antonio Carbajal, di samping Lothar Matthaus yang mewakili Jerman.

Penampilan selaku pemain gantian dan kemudiannya diberikan lilitan ketua pasukan ketika aksi pembukaan kumpulan F menentang Jerman turut menyaksikan Marquez menjadi pemain pertama untuk mengetuai pasukan dalam empat edisi Piala Dunia.

Apabila berbicara tentang aksi dengan Jerman, ramai pasti tidak menjangkakan juara bertahan itu akan tumbang kepada Mexico apatah lagi dalam rekod tiga perlawanan di Piala Dunia sebelum ini, semuanya memihak kepada wakil Eropah itu.

Jaringan Hirving Lozano pada babak pertama mengubah rekod itu sekaligus menyaksikan permulaan baik buat Mexico manakala Jerman ibarat terkena "sumpahan" juara bertahan seperti mana yang menimpa Perancis, Itali dan juga Sepanyol dalam edisi terdahulu.

Berdasarkan kepada usianya, ini pastinya penampilan terakhir buat Marquez di pentas Piala Dunia dan mampukah Mexico mara lebih jauh dalam saingan kali ini? Sama-sama kita nantikan.