Kumpulan yang menjadi perhatian penulis kali ini menjurus kepada kumpulan D apabila satu keputusan di luar jangkaan berlaku pada Sabtu, 26 September.

Pasukan Liga Perdana, Pulau Pinang pamer persembahan cukup menakjubkan untuk membenam juara bertahan, Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya.

Kemenangan yang cukup bermakna dan amat diperlukan skuad Harimau Kumbang ini selepas sekadar tewas kepada PKNS FC dan seri menentang PDRM sebelumnya.

Lantas mengurangkan tekanan kepada pengendali, Jacksen Tiago dengan nasibnya untuk terus mengendali Pulau Pinang musim depan bergantung kepada prestasi dalam saingan Piala Malaysia ini.

Malah pertemuan itu menjadi penanda aras awal kemampuan Pulau Pinang untuk menyaingi pasukan-pasukan Liga Super yang akan disertai mereka musim 2016 nanti.

Berbalik kepada aksi tersebut, perkara yang turut jadi perhatian sudah pasti aksi serba tidak menjadi oleh Pahang sehingga mudah dibolosi lawan.

Sudah pasti peminat setia skuad Tok Gajah mengharapkan satu kebangkitan segera jika ingin elak keputusan serupa berulang dalam baki tiga lagi perlawanan.

Nyata inilah antara kemanisan dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia apabila keajaiban dan di luar jangkaan sentiasa jadi harapan penyokong setia pasukan masing-masing.

Apa pun, perjalanan masih panjang buat semua pasukan dan penulis merasakan lebih banyak lagi "kejutan" bakal berlaku sepanjang pertandingan Piala Malaysia kali ini.