Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Selangor dan T-Team dijangka akan menjadi perlawanan paling curi tumpuan walaupun ramai melihat The Red Giants sekali lagi mampu melangkah ke perlawanan akhir.

Namun, air yang tenang jangan disangka tiada buaya...jangan sama sekali memandang rendah akan kemampuan anak-anak buah Rahmad Darmawan yang ada potensi mencelah ke perlawanan akhir.

Keupayaan mereka singkirkan Felda United di suku akhir jelas begitu mengejutkan dan kini mereka selangkah sahaja lagi mencipta sejarah ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Hadir dengan pasukan yang punyai bajet cukup rendah di Liga Super selain saat akhir mengesahkan status selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) pada saingan play-off, T-Team boleh berbangga dengan kejayaan yang mereka lakarkan pada musim ini.

Walaupun mereka tewas 1-5 pada saingan Liga Super di tangan juara, Johor DT, baharu-baharu ini, The Titans sebenarnya seperti menyimpan kuku kerana mahu beri fokus dalam pemburuan trofi Piala Malaysia.

Mempunyai ramai pemain muda berbakat seperti Sapawi Rasid, Arif Fadzilah Abu Bakar, Mohd. Asrol Ibrahim dan Nor Hakim Hassan, T-Team sebenarnya lahir daripada sebuah skuad yang bersatu dan tiada ego tersendiri dalam kalangan pemain.

Justeru, situasi itu memudahkan Rahmad melakukan perencanaan tersendiri dalam membentuk pasukan selain bertuah miliki import yang sanggup bekerja keras untuk pasukan seperti Makan Konate, Abdoulaye Maiga, Patrick Cruz dan Dilshod Sharofetdinov.

Selangor pula yang kini dilanda konflik membabitkan exco-exconya di Persatuan Bola Sepak Selangor, berada dalam situasi resah kerana seperti ketiadaan fokus untuk hadapi T-Team selepas tewas dua kali berturut-turut di Liga Super.

Terlalu mengharapkan Andik Vermansah, Selangor mungkin terpaksa banyak bergantung harap kepada magis mereka di Piala Malaysia ketika pemangku jurulatih, K. Gunalan jelas resah menyelesaikan krisis ketumpulan jentera serangan.

Tidak boleh terlalu mendabik dada menewaskan pasukan adik, PKNS di suku akhir sebagai keputusan membanggakan, Selangor perlu berada lebih seratus peratus jika mahu menumpaskan pasukan kecil tetapi jiwa besar iaitu T-Team.

Seri atau kalah, Selangor boleh menyalahkan diri sendiri kerana ia pasti memberi kelebihan besar kepada T-Team muncul pemenang di peringkat separuh akhir.

Atas kertas, Selangor mungkin boleh memenangi perlawanan separuh akhir pertama namun semangat berpasukan tinggi yang ada pada T-Team mampu menghadirkan keputusan sebaliknya.