Azizulhasni Awang melalui musim suram tahun ini.

Ranking dunia keirin jatuh tangga ke-18 dunia sementara pecut ke-35, situasi membimbangkan menjelang Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

Saya menemuinya ketika Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan yang menyaksikan dia menjuarai acara keirin dan pecut tanpa banyak mengeluarkan peluh.

“Strategi saya berbeza tahun ini. Saya tidak menyertai banyak kejohanan kerana fokus terhadap program periodisasi John (Beasley). Atas faktor itu, ranking dunia jatuh.

"Saya tidak bimbang kerana semuanya berada di landasan yang betul. Saya akan bangkit di China dan kemuncaknya di Indonesia,” kata Azizul.

The Pocketrocketman mengotakan janji.

Azizul meraih emas pecut pada Piala Trek 1 di China, gelaran antarabangsa pertamanya tahun ini.

Ia kejayaan penting buat Azizul. Titik kebangkitan musim ini, bukti dia di landasan yang betul.

Dia akan melangkah ke Velodrom Antarabangsa Jakarta bukan sebagai pelumba pilihan berbanding gandingan Jepun Tomoyuki Kawabata dan Yuta Wakimoto dalam keirin atau Im Cheabin (Korea) dalam pecut.

Mungkin ia akan mengurangkan tekanan walaupun pernah memegang gelaran juara dunia 2017.

Situasi ini lebih baik dalam misi menamatkan penantian emas Sukan Asia selepas raih emas keirin di Guangzhou, China 2010.