Sukan Olimpik berikutnya akan berlangsung di Tokyo pada 2020, ia merupakan pentas idaman buat semua atlet termasuk atlet malaysia untuk beraksi dalam Sukan Olimpik,apatah lagi apabila semua ingin menjadi atlet negara pertama yang mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama selepas hampir 64 tahun Malaysia menyertai temasya itu.

Salah satu atlet yang berjaya menarik minat penulis adalah penerjun negara, Chew Yi Wei, yang baru sahaja terlepas peluang beroleh tiket ke Sukan Olimpik yang ditawarkan dalam acara 3 meter papan anjal lelaki dalam Kejohanan Terjun Piala Terjun Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, penulis percaya yang penerjun negara ini mampu meraih tiket ke Sukan Olimpik walaupun terpaksa tunggu sehingga tahun depan dalam Piala Dunia FINA, selain mungkin juga mampu membawa pulang pingat buat negara.

Apa yang membuatkan penulis begitu percaya kepadanya adalah bukan sebab potensi ataupun kegigihan berlatih, tetapi penerjun negara seperti laparkan kejayaan ketika ditemu bual penulis selepas gagal mendapat slot ke Sukan Olimpik di saingan Piala Asia lalu.

Chew Yi Wei sebenarnya dibelenggu kecederaan di lutut kirinya namun Yi Wei tetap meneruskan latihan harian dan bersetuju untuk menyertai kejohanan Piala Asia kerana menawarkan peluang ke Sukan Olimpik.

Apabila tewas kepada penerjun Jepun, Ken Terauchi, dalam aksi final dan hanya meraih pingat perak, Yi Wei ternyata hampa dan penulis sebagai bekas atlet kebangsaan juga memahami, apabila seseorang atlet itu mempunyai misi untuk dirinya sendiri, mereka akan mengerahkan segala kudrat untuk merealisasikan misi itu.

Apa yang lebih menghampakan Yi Wei adalah kekalahan tipis kepada penerjun Jepun itu dengan perbezaan mata 17.05 mata sahaja, bagaimanapun ketika ditemu bual, biarpun kecewa tetapi sinar matanya memberi cerita berbeza bahawa semangatnya masih membara untuk mencuba lagi.

Penulis percaya kehampaan yang dirasai Yi Wei sekarang akan menjadi kekuatan untuk mendorongnya berlatih dengan lagi gigih sehingga mencapai misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik sekalipun membawa pulang sebutir pingat buat negara.