Harus ia bukan kebetulan untuk Manchester United dijadualkan menentang Huddersfield Town dan Cardiff City dalam dua perlawanan terakhir mereka musim ini.

Ketika pada awal musim, ia harus dilihat peluang United untuk menambah mata. Namun, pada penghujung musim kini, jadual itu mencerminkan hambarnya mereka hingga boleh disamakan dengan dua kelab itu yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Keputusan seri 1-1 dengan Huddersfield Town malam tadi tidaklah sampai menghumban The Red Devils daipada Liga Perdana, sebaliknya sekadar mengetepikan mereka daripada Liga Juara-Juara (UCL), untuk Ole Gunnar Solskjaer dan barisan kendaliannya membiasakan diri dalam Liga Europa semula.

Daripada sudut reputasi, ia bukanlah kegagalan kecil sehingga United menjadi bahan dipersendakan manakala daripada sudut kewangan pula, ia menyebabkan kelab itu akan kehilangan sehingga £65 juta (RM353 juta) daripada hasil hak penyiaran televisyen dan hadiah wang tunai.

Perjanjian penajaan pakaian dengan Adidas juga akan dipotong 30 peratus jika United gagal layak ke UCL dua musim berturut-turut.

Kegagalan tahun ini akan mengurangkan laba kelab di Old Trafford itu sebanyak £20 juta (RM108 juta) daripada tajaan £750 juta (RM4.07 bilion) daripada syarikat gergasi peralatan sukan berkenaan.

Dalam pada itu, ia akan turut menjadi penjimatan buat kelab itu kerana perjanjian kontrak menetapkan sebilangan pemain akan mengalami pemotongan gaji gara-gara kegagalan ke UCL – barangkali juga ini yang paling disukai penyokong agar setimpal dengan sumbangan “ciput” mereka sepanjang musim.

Gila ke apa United perlu membayar Alexis Sanchez gaji £500,000 (RM2.7juta) seminggu pada ketika dia terbukti adalah pembaziran terbesar?



Namun,mujurlah itu tidak akan berterusan.

Kegagalan ke UCL, seperti yang termaktub dalam syarat kontrak, bermakna pemain seperti Sanchez, Paul Pogba dan penjaga gol, David De Gea – yang membenarkan gol penyamaan Isaac Mbenza masuk di celah kangkangnya -- akan dipotong 25 peratus gaji mereka bagi musim depan. Itupun jika mereka memilih untuk kekal.

Seperti didedahkan ‘Football Leaks: The Dirty Business of Football’, gaji Sanchez akan dikurangkan kepada £375,000 (RM2.03 juta) seminggu, Pogba akan dikurangkan kepada £225,000 (RM1.23 juta) daripada asalnya £300,000 (RM1.63 juta) seminggu manakala De Gea daripada £200,000 (RM1.08 juta) kepada £150,000 (RM815,000) seminggu.

Malah, Pogba yang dijanjikan insentif khas dalam kontraknya, bakal kerugian pendapatan sehingga £1.8 juta (RM9.8 juta) sebagai ‘denda’ United akan bertanding dalam Liga Europa musim depan – setaraf pasukan tidak ternama seperti Krasnodar, Vorskla Poltava, Jablonec, Akhisarspor dan Spartak Trnava yang menganggotai peringkat kumpulan musim ini.



Lebih daripada itu, dilaporkan nilai hak komersial Pogba – yang akan meraih tambahan £3.125 juta (RM17 juta) jika beraksi dalam UCL musim depan – akan susut kepada hanya £2.87 juta (RM15.6 juta).

Mungkin ia menjadi isyarat jelas buat Sanchez, Pogba dan De Gea, antaranya, angkat kaki untuk mencari pasukan lain musim depan – sesuatu yang akan memudahkan usaha Solskjaer membentuk barisan baru daripada skuad yang “runtuh” musim ini.

Seperti yang dibayangkan oleh pengurus dari Norway itu, perlawanan dengan Cardiff, 12 Mei ini, akan menjadi penampilan terakhir sebilangan daripada mereka dalam jersi United.