Dengan kebangkitan dramatik Manchester United kebelakangan ini, antara pihak yang mengaut laba dalam hal ini adalah pemilik restoran yang sering menyajikan kerancakan Liga Perdana Inggeris (EPL).

United membuktikan aura mereka masih menyengat, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Ole Gunnar Solskjaer yang cukup mengenali selok-belok di Old Trafford.

Solskjaer sering mengulangi bahawa United seharusnya memburu gelaran dan sasaran itu tidak seharusnya lebih rendah daripada itu, ia satu pesanan ringkas untuk menyatakan di mana kelas mereka sepatutnya berada.

Kemenangan 3-1 ke atas Arsenal dalam pusingan keempat Piala FA minggu lalu menarik perhatian seramai 7.6 juta penonton di saluran BBC One -- perlawanan bola sepak paling ramai ditonton musim ini.

Penyokong United kini lebih terbuka untuk membincangkan perihal pasukan mereka di kedai mamak selepas merakamkan lapan kemenangan dalam sembilan perlawanan tanpa kalah sepanjang kendalian Solskjaer.

Meskipun menghuni tangga keenam dengan 45 mata, The Red Devils kembali ligat menghambat slot Liga Juara-Juara (EPL), dua mata di belakang Chelsea, Arsenal dan Tottenham manakala Liverpool kekal menerajui liga di depan juara bertahan, Manchester City.

Mereka ibarat anak ayam yang kehilangan ibu sejak persaraan Sir Alex Ferguson dan tiga pengurus berkaliber, David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho pula gagal memulihkan reputasi United.

Bagaimanapun, kehadiran Solskjaer memberikan satu senyuman yang cukup bermakna, setidak-tidaknya berbaloi untuk berjaga malam.

Namun, pengurus kelahiran Norway itu akan berdepan ujian paling getir dalam karier kejurulatihannya.

Tempoh 32 hari yang mendatang bakal menentukan kredibilitnya untuk mengemudi salah sebuah kelab terbesar dunia itu.

Adakah Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea, Liverpool, Crystal Palace, Southampton, Arsenal dan Manchester City mampu meremukkan hati penyokong United yang kembali berbunga-bunga, ia satu tempoh yang menarik untuk disaksikan.