Komunikasi, toleransi, kerjasama di antara pengurusan dan ketua jurulatih amat penting kerana ia akan menunjukkan kematangan dalam sesebuah organisasi.

Ini yang berlaku di antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dan jurulatih, Tan Cheng Hoe, apabila mereka berjaya menyelesaikan masalah dalaman pasukan dengan begitu baik sekali.

Persetujuan dan tolak-ansur kedua-dua pihak perlu dipuji kerana meletakkan nama Malaysia di hadapan dan ia satu pengorbanan tidak ternilai yang dilakukan oleh KFA dan Cheng Hoe sendiri.

Namun, kita tidak pasti apakah keputusan yang diambil oleh KFA tetapi itu bukan halangan untuk mereka duduk semeja bertukar-tukar pandangan serta berkongsi idea apa yang perlu dilakukan sebelum Cheng Hoe meninggalkan Kedah.

Tindakan sebeginilah yang perlu dilakukan, bersua muka antara satu sama lain yang perlu diterapkan tidak kira pengurusan atasan, jurulatih atau pemain.

Tidak ada ruang yang boleh memisahkan mereka kerana dengan bersua muka dan berkomunikasi dengan baik, ia akan membawa kebaikan kepada pasukan.

Penulis juga mengharapkan nilai-nilai insan ini dapat diterapkan di peringkat akar umbi, terutamanya, kerana dengan banyak ruang komunikasi dan bersua muka dengan pemain-pemain akan memberikan keyakinan dan dapat meningkatkan motivasi mereka.

Perhatian dan sikap mengambil berat kepada seseorang insan itu sudah pasti memberi kelebihan kepada pentadbiran dan jurulatih untuk meningkatkan prestasi pemain dan pasukan.

Ambillah pelajaran daripada sikap terbuka yang dipamerkan oleh Presiden KFA walaupun penulis tahu bukan mudah untuk melepaskan seorang jurulatih yang berwibawa serta mempunyai prinsip tersendiri dalam mengendalikan sesebuah pasukan dengan falsafah bola sepak moden yang mampu memberi impak kepada pasukan Kedah dalam memburu kejayaan.

Pengalaman yang dimiliki oleh Presiden KFA dalam urus tadbir serta sikap matang itu telah berjaya mencari satu solusi dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi itu.

Penulis mendoakan agar pasukan Kedah terus berjaya dan mampu membawa kejayaan serta mengangkat bola sepak negara nanti.

Ayuh peminat-peminat pasukan Kedah, teruslah berdiri di belakang pengurusan, pemain dan Cheng Hoe kerana mereka berkorban untuk Malaysia.