Walaupun dipalit pelbagai kontroversi pada awal saingan Liga Malaysia, namun anak-anak buah Tan Cheng Hoe masih lagi fokus pada tanggungjawab sebagai pemain dan memartabatkan bola sepak negeri Kedah ke tahap yang boleh dibanggakan.

Bermula dengan kemelut pengurusan pentadbiran, diikuti pula desakan peminat menuntut Cheng Hoe meletak jawatan, tetapi itu semua cabaran yang dilalui oleh pengurusan pasukan, jurulatih dan pemain.

Kini, Kedah boleh berbangga dengan pencapaian ketika ini apabila meletakkan pasukan mereka di kedudukan tiga terbaik dalam Liga Super walaupun masih berbaki dua perlawanan lagi.

Apa yang menarik tentang pasukan Kedah ini bukan hanya pada bakat muda pemain-pemain mereka tetapi kepada nilai keharmonian dan kekeluargaan yang dipamerkan oleh kesemua pemain pasukan Kedah ini.

Mereka tidak mempedulikan setiap tekanan yang diberikan dari pihak luar kerana mereka yakin dengan kemampuan setiap individu yang ada dalam pasukan Kedah.

Inilah yang perlu diambil iktibar oleh segelintir peminat Kedah yang tidak faham dengan situasi pasukan.

Janganlah kerana tidak berpuas hati disebabkan pilihan diri tidak berada dalam pasukan, memaksa diri untuk merosakkan keharmonian pasukan.

Sebagai peminat setia, teruslah memberi sokongan dan berdiri di belakang pasukan walaupun apa pun yang berlaku.

Lihatlah semangat juang yang dipamerkan oleh pasukan Kedah ini sehingga meletakkan pasukan mereka pada tahap terbaik kerana berjaya mengatasi tekanan dan apa jua gangguan yang tidak diinginkan.