Kesan daripada prestasi atlet dalam saingan Sukan Asia baru-baru ini cukup besar.

Keutamaan tidak lagi bersifat keseluruhan malah lebih memilih dalam memberi fokus atlet yang mampu membawa pingat emas pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

Lebih pilu, sukan yang berjaya menepati sasaran emas seperti skuasy dan boling tenpin tiada istimewa malah berdepan dengan kemungkinan pengguguran daripada Program Podium ekoran tiadanya sukan itu dalam temasya Sukan Olimpik nanti.

Tempoh dua tahun berlalu, Program Podium gagal berada di landasan tepat apabila masih belum ada sukan dan atlet yang benar-benar mampu diharapkan di Tokyo nanti.

Bedah siasat Program Podium selama dua hari sudah cukup jelas, perubahan program ini daripada objektif asal atau lebih tepat fokus program ini akan dikecilkan bagi membuka ruang tepat siapa yang harus diberi keutamaan menjelang temasya Tokyo 2020 nanti.

Dalam erti kata yang lebih mudah, Program Podium sudah tidak relevan dan mekanisma baru terpaksa diambil bagi terus memberikan nafas baru, dengan cara menutup mata di atas kerugian kos yang telah dikeluarkan sejak dua tahun lalu.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, keputusan yang bakal diambil umpama menyahut desakan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, yang tidak berselindung betapa Program Podium hanya satu pembaziran.

Kecilkan jumlah 23 Sukan Olimpik selain 148 bilangan atlet dalam Program Podium yang ada ketika ini mungkin mampu memberi jawapan kepada pencapaian atlet negara di Tokyo bagi tempoh dua tahun akan datang.

Sama ada kita tersilap langkah sejak dua tahun lalu atau butang panik yang ditekan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebaik menilai prestasi atlet dalam dua kejohanan besar 2018, iaitu Sukan Komanwel dan Asia, mampu membawa kepada jawapan tepat bagi tempoh singkat, iaitu dua tahun dari sekarang Malaysia akan memiliki penyumbang emas pertama dalam Sukan Olimpik.