Kemenangan Ricochet dan diangkat sebagai Juara Antara Benua WWE amat mengujakan dan memberikan bayangan bahawa bintang muda berusia 33 tahun itu bersedia untuk bangkit semula.

Di acara Smackdown yang berlangsung pada Sabtu lalu, Ricochet telah mencipta kejutan apabila berjaya menumpaskan Sami Zayn dalam satu perlawanan penuh aksi bagi merebut Kejuaraan Antara Benua. Kemunculan Johny Knoxville yang mengganggu fokus Sami dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ricochet. Dengan gerakan West Coast Pop, Sami terperangkap dalam tindanan Ricochet dan bintang kelahiran Syria itu terpaksa berputih mata kerana terlepas kejuaraan yang baru sahaja dimenanginya dua minggu lalu.

Kemenangan tersebut nyata memberi impak positif kepada bintang kelahiran Illinois, Amerika Syarikat ini. Sejak terlepas Kejuaraan Amerika Syarikat pada tahun 2021 dan dipindahkan ke jenama Smackdown, nama Ricochet agak tenggelam dan hanya diletakkan dalam perlawanan-perlawanan kurang penting.

Percubaan WWE untuk meletakkan Ricochet dalam sengketa dengan Retribution pimpinan Mustafa Ali pada tahun 2020 juga kurang berjaya. Ia berakhir singkat tanpa memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Dari situlah, pemilik nama sebenar Trevor Mann ini tampak sedikit tenggelam dalam persaingan di jenama Smackdown.

Insiden secara tidak sengaja mematahkan tulang hidung Ridge Holland ketika bergandingan dengan Cesaro di acara WWE Day 1 pada awal Januari lalu turut menjadi nilai tambah dalam merencatkan momentumnya. Menjadi kebiasaan sekiranya kemalangan seumpama itu berlaku dan jika kesilapan itu datang daripada bintang WWE itu sendiri, ia akan memberi kesan secara tidak langsung dengan lonjakan karier akan ditahan sementara atau paling teruk, digantung daripada beraksi.

Mujur Ricochet tidak perlu menjalani ‘hukuman’ terlalu lama. Setelah sekian lama mencari rentak, bintang high flyer dan pakar dengan aksi akrobatik ini telah diberikan tempat selayaknya dengan diangkat sebagai Juara Antara Benua. Ia sekali gus menambah rekod cemerlang dalam kariernya kerana telah merangkul kesemua kejuaraan kelas pertengahan di WWE iaitu Kejuaraan Amerika Syarikat, Kejuaraan Antara Benua dan Kejuaraan Amerika Utara NXT.

Mengulas tentang kemenangannya baru-baru ini, bintang yang pernah membawa peranan sebagai Prince Puma ini juga bertekad untuk menjadikan Kejuaraan Antara Benua kembali relevan dan ingin meletakkan nilai prestij kejuaraan tersebut setanding dengan Kejuaraan Universal dan Kejuaraan WWE.

Hanya tinggal kurang sebulan ke acara gilang-gemilang Wrestlemania, kemenangan ini amat tepat pada masanya dan Ricochet perlu berusaha sedaya upaya untuk kekal mempertahankan kejuaraannya agar dapat tampil bergaya selaku juara di acara tahunan terbesar WWE itu.

Satu trivia menarik dikongsikan melalui ciapan di Twitter oleh Ricochet. Menurutnya, semasa perlawanannya dengan Sami Zayn berlangsung, kanta lekap di mata kanannya telah tertanggal di minit-minit awal perlawanan. Justeru, Ricochet telah beraksi separuh buta akibat kehilangan ¾ penglihatannya.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Wrestlemania dua hari berturut-turut pada 3 & 4 April depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.