Aksi suku akhir Piala Malaysia di antara Selangor dan Perak pada 29 September lalu menyaksikan kecemerlangan seorang pemain yang hampir dilupakan gara-gara kecederaan dan juga kekalutan pengurusan pasukan yang diwakilinya.

Pemain yang penulis maksudkan ialah bekas pemain sayap kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri, yang meledak dua gol membantu Selangor ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2.

Penulis mengenali Khyril atau lebih sinonim digelar “Meen” dalam kalangan rakan sepasukan ketika dia bersama skuad remaja bawah 19 tahun negara pada 2004.

Meen turut beraksi bersama skuad remaja negara kendalian Datuk K.Rajagobal yang mara ke pusingan akhir AFC B19 tahun di India pada 2006.

Bekas pemain Kedah ini adalah seorang pemain berbakat yang menjadi tonggak Lang Merah ketika meraih kejayaan treble pada 2007 dan 2008.

Namun potensi pada awal usia yang dijelmakan Meen ini tampak terbatas apabila dia mengalami kecederaan lutut ACL pada 2014.

Prestasi Meen juga tidak begitu menyinar apabila berhijrah ke Negeri Sembilan pada 2015 gara-gara masalah kecederaan sehingga akhirnya beraksi dengan Air Asia di saingan Piala FAM pada 2016.

Tatkala pemain lain mungkin sudah merancang untuk bersara apabila beraksi di saingan Piala FAM, Meen enggan menyerah dan kembali beraksi di saingan Liga Super pada 2017 apabila PKNS FC memberikannya peluang.

Musim 2019 pada mulanya tampak kabur buat Meen, apabila dia menyertai Perlis dan kekalutan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyaksikan pasukan Singa Utara menjadi ahli gabungan FAM pertama dibatalkan penyertaan selepas liga bermula.

Namun, tuah manusia tiada siapa yang tahu dan apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menawarkan kontrak kepadanya musim ini, ia ibarat talian hayat kedua buat Meen kembali membuktikan kredibilitinya sebagai pemain di peringkat tertinggi tempatan.

Usianya kini mungkin sudah mencecah 32 tahun, namun semangat kental dimiliki pemain kelahiran Alor Setar ini wajar dicontohi pemain muda lain.

Dia tidak sesekali menyerah meskipun masalah kecederaan serta kekalutan pengurusan pasukan hampir memusnahkan kariernya.

Seorang lagi pemain yang mempunyai perjalanan karier mirip dengan Meen adalah pemain tengah Perak, Brendan Gan.

Pemain berdarah kacukan Australia -Malaysia itu pernah mengalami kecederaan lutut ACL sebanyak dua kali yang memaksanya berehat semusim pada 2017.

Seperti Meen, Brendan tidak menyerah dan melalui proses pemulihan yang mencabar sebelum kembali beraksi dengan Perak musim lalu.

Bekas pemain Sydney FC ini membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 2018 dan kini, kembali menguatkan jentera tengah negara di saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Penulis percaya kejayaan Meen dan Brendan bangkit daripada kecederaan mampu dijadikan ispirasi kepada pemain-pemain muda yang berdepan dengan masalah kecederaan yang berpanjangan.

Untuk bangkit daripada kecederaan, ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental yang kuat serta keinginan tinggi untuk kembali beraksi.