Menempatkan diri di tempat kedua Liga Eastern Conference, Chicago Bulls, kini memegang rekod 10-4 sepanjang 14 perlawanan dan bandar Chicago kini menjulang tinggi khidmat pemain yang baru, iaitu Demar Derozan setelah pemain itu menjadi tunjang utama pasukan selepas Zach Lavine.

Demar DeRozan tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama pasukan Bulls setelah tiba dari San Antonio Spurs secara sign and trade yang melihatkan beberapa pemain Chicago Bulls iaitu Thaddeus Young, Al-Farouq Aminu serta pilihan pusingan pertama dan beberapa pilihan pusingan kedua di dalam NBA draft di hantar ke pasukan San Antonio Spurs dan perkara ini dilhat sebagai menguntungkan pasukan Chicago Bulls yang mempamerkan aksi rancak dipimpin oleh pemain yang diperolehi mereka dari San Antonio Spurs itu.

Demar DeRozan seakan mati hidup kembali kini di Chicago Bulls setelah berjaya menempatkan diri di tempat ke-5 di dalam perlumbaan mengejar anugerah Most Valuable Player (MVP) liga NBA di belakang pemain-pemain All-Star seperti Kevin Durant, Steph Curry, Nikola Jokic dan Paul George.

Demar DeRozan yang tenggelam sepanjang bersama San Antonio Spurs kini seperti telah menerima nyawa baru untuk mengembalikan zaman kegemilangannya seperti ketika dia bermain bersama Toronto Raptors dan Kembali membuktikan dirinya sebagai antara pemain bintang di dalam liga NBA pada musim ini.






Bermain menetang pasukan gergasi dalam 5 perlawanan terakhir mereka tidak meruntuhkan semangat Chicago Bulls, malah pasukan itu tampak lebih yakin mengatasi semua cabaran apabila berjaya mendapatkan kemenangan menentang pasukan pilihan dalam Eastern Conference iaitu Brooklyn Nets yang diketuai pendahulu anugerah MVP, Kevin Durant, serta menundukkan pasukan Western Conference Dallas Mavericks yang berkunjung ke United Center.

Chicago sebelum pasukan Chicago Bulls memulakan perjalanan mereka ke Western Conference yang melihatkan pasukan Bulls tunduk akur di tangan Steph Curry dan Golden State Warriors di Chase Center, San Francisco.

Namun, kekalahan itu hanyalah ibarat debu di bahu, pasukan Chicago Bulls meneruskan perjalanan ke Los Angeles dan ianya berakhir dengan senyuman apabila berjaya menumbangkan kedua-dua pasukan Los Angeles iaitu Lakers dan Clippers di gelanggang mereka, Staples Center, Los Angeles di dalam perlawanan back to back yang berlansung dalam tempoh kurang dari 48 jam.






Kunjungan ke Los Angeles itu seperti membawa makna berharga kepada Demar DeRozan yang menjaringkan sejumlah 73 mata dalam dua perlawanan menentang Pasukan Lakers dan Clippers.

Pemain kelahiran Compton, California itu tampak selesa bermain di kampung halamannya walaupun menyarung jersi pasukan lawan.

Demar DeRozan juga tampak cemerlang dalam lima perlawanan terakhir Chicago Bulls itu apabila berjaya menjaringkan lebih 35 mata dalam setiap 5 perlawanan itu.

Demar DeRozan yang kali terakhir menempatkan diri sebagai pemain All-Star pada tahun 2018 bersama Toronto Raptors tampak seperti pilihan terbaik untuk diundi masuk sebagai pemain All-Star musim ini mewakili Eastern Conference setelah aksi mantap yang dipertontonkan sepanjang 14 perlawanan yang telah dimainkan ini.

Demar DeRozan yang menjaringkan purata 26.9 mata setiap perlawanan dan berjaya menempatkan diri sebagai pemain keenam dengan jumlah mata tertinggi di dalam liga NBA merupakan aset utama pasukan Chicago Bulls yang sebelum ini mengharapkan keajaiban dan kebijaksanaan Zach Lavine mengemudi serangan, namun mereka kini mempunyai seorang lagi pemain yang boleh menggalas tugas itu dalam mengemudi jentera serangan pasukan Chicago Bulls.







Pasangan Zach Lavine dan Demar DeRozan dilihat sebagai duo terbaik di bandar Chicago selepas gandingan Michael Jordan dan Scottie Pippen apabila duo Lavine dan DeRozan itu berjaya menjadi duo kedua untuk menjaringkan lebih 20 mata di dalam 7 perlawanan berturut-turut buat pasukan Chicago Bulls.

Adakah ini petanda bahawa pasukan Chicago Bulls akan kembali menjadi pasukan yang digeruni di Eastern Conference?

Kali terakhir pasukan Chicago Bulls melayakkan diri ke peringkat playoffs adalah pada musim 2016/17 dan tiada satu pun pemain daripada musim itu yang kini masih bermain bersama pasukan Bulls pada musim ini.

Ini adalah petanda bahawa pasukan Chicago Bulls telah menutup buku stratetgi mereka yang lama dan merujuk kepada strategi baru di bawah bimbingan Billy Donovan untuk mengejar slot ke pusingan playoffs pada musim ini.

Mampukah Billy Donovan membawa pasukan ini mara lebih jauh di peringkat playoffs mengatasi rekod pasukan Chicago Bulls musim 2016/17 yang terkandas di pusingan pertama Eastern Conference?