Sudah lebih dua minggu sejak jendela perpindahan musim ini dibuka, pelbagai kelab tidak membuang masa dalam mengorak langkah untuk memperkuatkan skuad masing-masing sebaik-baiknya.

Satu kelab yang disebut-sebut bakal bergerak aktif dalam aspek pembelian pemain sudah pastinya Manchester United.

Menurut kata-kata bekas pengurus mereka musim lalu, Ralf Rangnick, sekurang-kurangnya tujuh pemain perlu dibawa masuk untuk merombak semula pasukan secara keseluruhan.

Di kala ini, apa yang ada hanyalah ura-ura sedangkan tiada sebarang pemain ternama yang berjaya dibawa masuk.

Tatkala membaca laporan berita saban hari, nama yang tidak henti-henti dikaitkan dengan United adalah pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong.




Dia merupakan salah seorang pemain terbaik dan paling konsisten buat Barcelona dalam musim-musim yang lalu, juga memiliki hubungan baik dengan pengurus terbaru United, Erik ten Hag.

Kehadiran de Jong sememangnya sangat diperlukan untuk menyuntik semangat baru kepada barisan pemain tengah United yang teramat hambar sejak sekian lama.

Namun, menurut laporan Daily Mail, Barcelona menuntut bayaran setinggi £68.6 juta (RM371 juta) untuk pemain warganegara Belanda itu demi memperoleh sedikit keuntungan daripada harga £65 juta (RM352 juta) yang mereka bayar untuk membelinya daripada Ajax sekitar tiga tahun dahulu.

Menurut kata-kata pengarah sukan United, John Murtough, kesemua kelab di luar sana teramat memahami kesukaran yang United lalui dan nampaknya bercadang untuk mempergunakan keadaan terdesak The Red Devils dengan meletakkan harga tinggi buat pemain-pemain yang ingin dijual.

Disebabkan itu, pihak kelab terpaksa melakukan urusniaga dengan penuh berhati-hati agar tidak membazirkan wang secara berlebihan dan terpaksa memperlahankan proses penyelesaian pembelian.

Selain de Jong, seorang lagi pemain Ajax yang turut disenangi oleh ten Hag, Antony, turut sama berada dalam radar United.

Harga yang diletakkan untuknya adalah £40 juta (RM216 juta), dan proses perbincangan dengan Ajax masih lagi di tahap awal.

Bintang utama United, Cristiano Ronaldo, pula telah menarik minat Chelsea, dan pemilik baru mereka, Todd Boehly, dilaporkan ada bertanya tentang kemungkinan untuk membawanya ke Stamford Bridge.

Ronaldo pula menyatakan sokongan terhadap ten Hag dan ingin kekal buat sekurang-kurangnya semusim lagi, namun keputusannya mungkin berubah jika United gagal untuk menunjukkan sebarang hasil positif dalam jendela perpindahan kali ini. 

Menariknya, kelab Barcelona dilaporkan berminat dengan pemain pertahanan United yang menerima kritikan pedas sepanjang musim lalu, Harry Maguire.

Pengurus Barcelona, Xavi, telah hilang sabar dengan pemain pertahanan veteran mereka, Gerard Pique, yang terlalu leka dengan kehidupan sebagai seorang selebriti sehingga tidak memberikan komitmen penuh terhadap tugasnya sebagai pemain bola sepak.

Semalam, Pique dilihat berada di England untuk menonton perlawanan tenis yang melibatkan rakan senegaranya, Rafael Nadal, sambil membawa beg yang tertera logo Chelsea.




Barcelona mencadangkan agar Maguire dijadikan sebahagian daripada harga perpindahan untuk membeli de Jong, namun cadangan itu telah ditolak oleh ten Hag yang menyatakan bahawa Maguire merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan kembali United musim depan.

Secara keseluruhan, tiada apa-apa yang kukuh boleh dikatakan tentang aktiviti United setakat ini.

Dalam bahasa pasarnya, sekadar sembang-sembang.