Siapa gerangan Lautaro Martinez?

Selagi Lionel Messi masih beraksi dalam kesebelasan utama Argentina, siapa juga yang beraksi di sampingnya akan mudah ditenggelami.

Baik ketika Messi menghadapi hari yang suram, apatah lagi dalam perlawanan yang dia benar-benar menyerlah, Messi akan sentiasa menjadi tumpuan sekalipun dia hanya tercegat berdiri.

Namun, pada waktu yang sama, tumpuan berlebihan ke atas Messi juga bermakna ruang-ruang akan terbuka buat rakan sepasukannya memanfaatkan keadaan.

Lautaro – seperti yang dia gemar dikenali berbanding nama Martinez – bingkas mengeksploitasi kesempatan itu untuk namanya kini meniti di bibir ramai dalam Copa America yang sedang berlangsung di Brazil.

Messi sudah pun mengumumkan kejohanan kali ini bukan penampilan terbaiknya tapi barisan La Albiceleste yang diketuainya dalam pemburuan gelaran antarabangsa selepas kemarau panjang, masih beruntung dengan sumbangan besar Lautaro dan Sergio “Kun” Aguero dalam sentuhan penyudah.

Masing-masing satu gol sumbangan Lautaro dan Giovani Lo Celso dalam kemenangan 2-0 ke atas Venezuela awal pagi tadi, memacu Argentina kendalian Lionel Scaloni untuk merealisasikan pertemuan ‘clasico’ dengan tuan rumah, Brazil, dalam separuh akhir Rabu ini (8.30 pagi waktu Malaysia).

Seperti paparan yang dikongsikan oleh laman goal.com, hanya setahun selepas dipinggirkan daripada perancangan Piala Dunia oleh pengurus terdahulu, Jorge Sampaoli, penyerang muda itu memilih peluang yang dihamparkan buatnya di Brazil untuk menonjolkan diri.

Bukan Lautaro berseorangan yang terketepi daripada Piala Dunia 2018, malah bakal rakan sepasukan barunya pada waktu itu di Inter Milan, Mauro Icardi.

Masih bergelar penyerang Racing Club dalam Liga Primera Argentina tahun lalu, Lautaro berada dalam prestasi mengagumkan ketika itu tapi dianggap Sampaoli belum mencapai tahap untuk pasukan kebangsaan.

Namun, diturunkan menentang Qatar, Isnin lalu – hidup-mati kemaraan Argentina bergantung kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu – penyerang berusia 21 tahun berkenaan meningkatkan kelajuan kepada pasukan untuk mengesahkan slot suku akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas juara Asia itu di samping menyumbang gol pendahuluan pasukan.



Berdepan Venezuela pagi tadi, Lautaro hampir tak terhalang. Secara umumnya, dia melakukan lebih daripada mana-mana pemain Argentina yang lain untuk mengerah lawan lebih banyak bertahan dengan larian-lariannya dan sentiasa mahukan bola.

Menepati darah mudanya, adakalanya dia terbawa-bawa dengan keghairahan seperti kad kuning gara-gara satu terjahan gegabahnya tapi kehadirannya tidak syak lagi menyuntik nafas baru dalam skuad Argentina yang bermula hambar dalam kempen kali ini.

Jadi, di mana Sampaoli hebat dikritik tahun lalu, Scaloni juga tidak berbeza, dengan pemilihan pemainnya dianggap "mengarut".

Tapi, beransur-ansur Scaloni mula mengaut hasil daripada perjudiannya menampilkan pemain muda, tambahan dapat menumpang tuah dengan Lautaro yang kian menyinar.

Brazil, bagaimanapun, menanti sebagai ujian paling getir dan andai Messi tidak akan dibenarkan bebas bergerak, pemain Selecao juga tidak mampu memandang Lautaro dengan sebelah mata.

Copa America 2019 mungkin menjadi medan menamatkan kemarau gelaran antarabangsa buat Messi dan juga pentas memperkenalkan Lautaro kepada dunia.