Diskriminasi atau sikap ‘pilih bulu’ membelakangkan Sazali Samad adalah yang terburuk sepanjang sukan negara 2016, mengatasi kegagalan membawa pulang emas sulung dari Sukan Olimpik Rio.

Isu doping Sazali – bukan yang berkait dengan hukuman tapi tiadanya pembelaan wajar buatnya – menyerlahkan sisi buruk sukan Malaysia yang melabuhkan tirai bagi tahun ini.

Pernah dijulang sebagai ikon negara dan dihamburkan pelbagai sanjungan, namun gara-gara satu kesilapan, Sazali – pemegang rekod dunia dengan memenangi gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali -- dilayani seumpama seorang penagih dadah tegar.

Saya tabik kepadanya kerana di sebalik diabaikan untuk berjuang bersendirian dengan menganggap apa yang berlaku sebagai “ujian Allah terhadapnya”, Sazali, 49, bukan sekadar enggan mengalah dan bersara saja -- hairannya seperti kemahuan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Malek Noor -- sebaliknya tetap membara dengan semangat untuk terus membawa kegemilangan kepada negara.

Apakah kerana Sazali tidak berkemungkinan memberikan Malaysia pingat emas Olimpik – bina badan bukan satu acara dalam temasya terbesar dunia itu – maka dia tidak harus diberikan peluang kedua?

Adakah pula empat pingat perak dan satu gangsa Sukan Olimpik dan tiga emas dan satu gangsa Sukan Paralimpik menggelapkan mata tokoh-tokoh berwajib terhadap seorang “anak emas” Malaysia yang empat kali dinobatkan selaku Olahragawan Kebangsaan dan Mr Asia sembilan kali, daripada dibantu mendapat keadilan sepatutnya?

Di manakah pihak-pihak “ketuanan” sukan negara yang beriya-iya menolong Datuk Lee Chong Wei hingga mendapatkan kepakaran peguam sukan terkemuka dari London, Mike Morgan, sehingga hukuman ke atasnya dapat dikurangkan?

Barangkali standard kes kedua-duanya berbeza – Chong Wei digantung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedangkan Sazali digantung Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM). Maka layanan juga harus berbeza – kelas dunia dan kelas kampung!

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan PBBM yang dipengerusikan Naib Presiden PBBM, Datuk Masood Zainal Abidin, sebulat suara menolak rayuan kedua – rayuan pertamanya pada Januari 2016 -- yang difailkan Sazali selepas mendapati justifikasi yang dinyatakan dalam surat rayuannya dirumuskan tidak kukuh.

Mungkin jika firma guaman Mike Morgan yang menyediakan fakta rayuannya, anggota jawatankuasa itu akan terlopong menatapnya.

Keputusan terbaru itu menyaksikan Sazali akan meneruskan hukuman penggantungan empat tahunnya kerana diuji positif bagi steroid sehingga September 2019 di sebalik dia mengharapkan ia dapat dikurangkan kepada dua tahun saja.

Sebagai perbandingan, Chong Wei yang duji positif bagi dexamethasone ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen pada Ogos 2014, digantung hanya lapan bulan hasil bantuan guaman Morgan berbanding kemungkinan penggantungan dua tahun.

Perbezaannya, Sazali pula duji positif di luar kejohanan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) ketika sedang bersiap untuk Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia dari 29 September hingga 5 Oktober 2015 di Tashkent, Uzbekistan.

Untuk rekod, Sazali tidak pernah terkecuali melakukan ujian doping bersama Adamas dan setiap tahun beliau akan diuji sekurang-kurangnya dua kali sebelum menyertai Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia.

Barangkali juga kerana Chong Wei mengambil makanan tambahan cendawan ‘cordycep’ yang tidak diketahuinya mengandungi dexamethasone walhal Sazali mengambil makanan tambahan yang turut tidak diketahuinya terkandung steroid yang boleh membantu pembinaan otot.

Satu persoalan menarik ialah apakah Sazali akan mendapat pembelaan jika dia terambil dexamethasone dan bukan steroid? Jawapannya hmmmmmmmm.

Atau barangkali Chong Wei diberikan segala bantuan pembelaan ketika itu kerana dia disasarkan emas Olimpik sedangkan Sazali tidak berkemungkinan – usahkan Olimpik, malah acara bina badan turut ditarik keluar dari Sukan SEA 2017 yang Malaysia sendiri akan anjurkan!

Tidakkah pihak-pihak berwajib sukan Malaysia sedari bahawa di sebalik kemurnian niat mereka membela Chong Wei sebelumnya, ia mewujudkan satu duluan (precedent) untuk mereka dihambat keperluan melakukan yang sama apabila kes seumpamanya berlaku lagi kemudian?

Mampu lenakah tidur malam mereka mengenangkan Chong Wei dibantu habis-habisan tapi Sazali dibiarkan terkapai-kapai kelemasan?

Kasihan Sazali yang dibiarkan dengan keluhannya, “Tiada sesiapa sudi bantu saya” dan “Berilah saya peluang kedua” yang harus terngiang-ngiang seperti dalam filem klasik ‘Panggilan Pulau’.

Andai mahu disimpulkan pencapaian sukan negara sepanjang 2016, ketiadaan emas dari Sukan Olimpik Rio 5-21 Ogos lalu – juga hairannya Malaysia tidak menetapkan sebarang sasaran -- tetap satu kegagalan, namun sikap lepas tangan terhadap Sazali menyerlahkan sisi “terkeruh” yang menuntut dijernihkan.

Berikutnya, Sazali berura-ura untuk memanjangkan kes dopingnya ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland sebagai jalan terakhir mendapatkan pengurangan tempoh penggantungan.

Adakah ketuanan sukan negara akan membantunya kali ini?

Hmmmmmm.