Ong Kim Swee dijulang ketika membawa pulang pingat emas Sukan Sea 2011 dan muncul juara Pestabola Merdeka 2013 selain membawa skuadnya mara ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012.

Beliau turut dikenali dengan kebolehan mengasah bakat-bakat belia bola sepak negara sehingga dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Semasa pengunduran Datuk K. Rajagobal, Datuk OKS dianggap salah satu calon pilihan bagi mengisi kekosongan tersebut selain permohonan daripada 37 jurulatih lain, antaranya Philippe Troussier, Radojko Avramovic dan Robert Alberts.

Namun, tuah tidak menyebelahinya ketika itu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih Dollah Salleh untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

Malapetaka yang menimpa skuad negara ketika dibelasah 10-0 oleh UAE dalam kelayakan Piala Dunia di Abu Dhabi pada 3 September 2015, ternyata merupakan titik tolak karier beliau selaku pengendali utama skuad bola sepak Malaysia.

Bermula dengan keputusan positif dalam tiga perlawanan sekaligus memberikan keyakinan kepada beliau untuk menghantar surat rasmi agar dilantik menjadi pengendali utama.

Angin perubahan Datuk OKS turut menyaksikan beberapa muka baru seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Nazirul Naim Che Hashim dan beberapa pemain lagi diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan di peringkat antarabangsa.

Beliau turut membawa beberapa nama yang boleh dianggap “favourite” seperti Fakri Saarani, Fadhli Shas dan Irfan Fazail yang digilap OKS dari zaman remaja lagi.

Bagaimanapun, statisitk Malaysia di bawah Datuk OKS sebenarnya tidaklah begitu memberangsangkan.

Dengan menjaringkan 20 gol dan bolos 27, Malaysia hanya mampu mendapatkan 7 kemenangan daripada 20 perlawanan, di mana ia boleh dianggap munasabah berdasarkan reputasi yang disandang Datuk OKS.

Realitinya, Datuk OKS tiada pengalaman di pentas tinggi seperti Asia, apatah lagi bertaraf dunia.

Pencapaian terbaiknya hanyalah bertaraf Asia Tenggara, itupun bersama skuad belia. Jadi bayangkanlah bagaimana beliau mahu mencapai tiga KPI utama yang ditetapkan FAM.
Mungkin ramai yang mengharapkan Datuk OKS mampu membawa semula magis sepertimana beliau membimbing skuad belia negara dahulu.

Namun, hakikatnya mentaliti dan persembahan kita masih di takuk lama, tiada penambahbaikan dan kita masih lagi bermain long bodoh (bak kata KJ).

Janganlah diletakkan kesemuanya di bahu Datuk OKS, kerana itu sahaja yang termampu beliau lakukan berdasarkan apa yang dimilikinya.
“Mana mungkin kita mampu terbang tinggi jika hanya menaiki basikal”.

Dengan Kemboja pun berhempas-pulas, bagaimana nak muncul juara AFF?

Bertemu Myanmar pun kita tewas, bagaimana mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia?

Dan bertemu Indonesia pun kita dibelasah 3-0, bagaimana mahu melonjak ke tangga ke-140 ranking FIFA?

Tapi ingat, jangan salahkan beliau 100 peratus, kasihan Datuk OKS.