Betul lah kata orang bola itu bulat.
Adakala kita menang, ada masa kita kalah.
Kadang kala kita diatas, tiba masa kita dibawah.


Jerman menanggung aib apabila tewas 0-6 kepada Sepanyol dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah tetapi masihkah anda ingat peristiwa memalukan yang dilakukan Jerman ketika bertemu tuan rumah Piala Dunia 2014, Brazil di separuh akhir?

Dalam perlawanan yang berlangsung pada tarikh 9 Julai 2014 itu, 5 bintang Jerman mencetak nama selaku penjaring - mereka ini memiliki bukan calang-calang reputasi dan anda sendiri akan secara automatiknya rasa terpegun dengan hanya mendengar nama Raja Gol Piala Dunia, Miroslav Klose serta rakan-rakan - Thomas Mueller, Toni Kroos, Sami Khedira dan Andre Schurrle dalam barisan pemain.

Apa yang berlaku dalam babak pertama amat mengujakan - barisan kendalian Joachim Loew tampil seperti sebuah mesin pemusnah yang berhasil mendapatkan 5 gol dalam tempoh kurang 20 minit - "memang gila" dan itulah respon kebanyakan pengikut Piala Dunia yang 50/50 mahu Jerman atau Brazil ke final.

Kekalahan 7-1 yang kemudiannya membawa Jerman kepada kejuaraan keempat di saingan Piala Dunia, sebaliknya menjadi mimpi ngeri buat Brazil yang ketika itu dipimpin Luis Felipe Scolari.

Media antarabangsa juga menambah hangat dengan ada yang mengandaikan 'neraka Brazil di rumah sendiri' - melenyapkan segala pujian tentang konsistensi barisan yang diketuai Neymar sejak mula kejohanan, termasuk ramalan mampu meraikan gelaran keenam dengan meriahnya dihadapan penyokong sendiri.

Kepedihan itu jelas tak tertanggung oleh Brazil yang tidak pernah kalah dalam 62 perlawanan ketika itu, sampaikan penentuan tempat ketiga yang sepatutnya menjadi medan menebus kecewa seperti dibiarkan sahaja dimenangi oleh Belanda.

Begitulah hebatnya penangan yang diberikan Jerman tapi sejak peristiwa itu, belum ada lagi mana-mana pasukan yang berjaya membalas dendam kepada Jerman bagi pihak Brazil, sehinggalah Sepanyol tampil untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah.

Kiranya Sepanyol ini memang mantap lah sebab berjaya padam rekod Hungary tewaskan Jerman yang ketika itu masih menggunakan nama West Germany paling teruk iaitu 8-3 pada Piala Dunia 1954 - Fuh! lama kan?

Sepanyol pula sekarang ini semakin selesa dengan barisan segar mereka - boleh jatuh cinta tengok bagaimana Ferran Torres betul-betul 'on fire' dengan hatriknya ketika Sepanyol berpesta gol ke atas Jerman.

Adakah ini bermakna Sepanyol adalah calon terbaik untuk muncul juara Liga Negara-Negara Eropah apabila juara bertahan, Portugal sudah pun dah tersingkir?