Penjaga gol terbaik dunia, Gianluigi Buffon, membuat lambaian terakhir kepada para peminat di arena bola sepak antarabangsa setelah Itali gagal layak ke Piala Dunia Russia 2018.

Sweden mengejutkan skuad Azzuri dengan agregat 1-0 untuk beraksi dalam kejohanan paling prestij bola sepak itu setelah gagal layak dua edisi lalu.

Pemain kelahiran Tuscany juga dikenali sebagai ‘Gigi’ itu tidak dapat menahan rasa sebak kerana mengakhiri karier manis 20 tahun bersama skuad senior Itali yang buat pertama kali dalam 60 tahun gagal ke Piala Dunia.

Pemain tinggi lampai 1.91 meter yang mula menunjuk belang seawal usia 16 tahun bersama skuad remaja Itali itu pernah menyatakan bola sepak adalah segala-gala untuknya.

Kapten skuad Azzuri dan Juventus pernah membawa Itali menjadi juara Piala Dunia pada 2006 itu amat hebat menjaga gawang gol dengan kepantasan, skil, keberanian, keyakinan dan bijak.

Sudah pasti semuanya datang daripada keluarga sukan yang mewakili Itali, bapanya seorang atlet angkat berat dan ibunya pula atlet lempar cakera. Kedua-dua kakaknya kompetitif dalam sukan bola tampar.

Buffon yang membuat 175 penampilan bersama Itali juga antara pemain bintang yang beraksi 1000 kali secara profesional berdepan tamparan besar di atas kegagalan kali ini, walhal skuad Itali sememangnya skuad yang dihormati dan digeruni dengan rekod empat kejuaraan pada tahun 1934, 1938, 1982 dan 2006.

Apapun, pada usia 39 tahun, Buffon merupakan penjaga gol termahal di dunia bernilai EUR52 juta telah dinobat sebagai penjaga gol terbaik Serie A sebanyak 11 kali serta penghormatan penjaga gol terbaik FIFA 2017 akan terus disanjungi oleh komuniti bola sepak dunia.