The Three Lions bakal berdepan Slovenia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Russia di mana sandaran pastinya terarah kepada penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.

Kehadiran penyerang yang berusia 24 tahun itu tentunya memberikan suntikan moral kepada rakan sepasukan lain tatkala kemenangan pastinya ditagih England kerana tiga mata yang diperoleh akan memastikan tiket untuk ke Russia tahun depan.

Kane, yang gagal meledakkan gol pada Ogos lalu, kembali bangkit pada September dengan 13 gol secara keseluruhan untuk aksi bersama kelab dan negara.

Kelibatnya dalam skuad England turut ditagih pemain senior seperti Joe Hart, yang percaya Kane akan menjadi tunjang utama buat skuad England untuk beberapa tahun mendatang.

Kecenderungan Kane untuk mengetuai jentera serangan pasukan England turut dipengaruhi ketumpulan Daniel Sturridge dan Jamie Vardy yang mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan.

Bintang sedang meningkat naik, Marcus Rashford, turut disebut-sebut bakal bergandingan dengan Kane dalam usaha mencari seberapa banyak jaringan berdepan Slovenia nanti.

Tambahanpula, kedudukan Gareth Southgate turut berada dalam keadaan tidak menentu, dan kemenangan ke atas Slovenia amat-amat diperlukan bagi menambah keyakinan peminat setia skuad The Three Lions.

Dengan Jordan Henderson dan Kane silih berganti memegang lilitan kapten dalam beberapa perlawanan lalu, Southgate pastinya amat mengharapkan agar Kane mampu sekali lagi menjadi wira sebagaimana dia menyelamatkan England untuk mengekalkan rekod tidak tewas kepada Scotland sejak 1999 dengan gol penyamaan pada minit ke-93, Jun lalu.